suria

Bola Sepak: Wan Jamak Belum Mahu Dabik Dada

SEREMBAN: Jurulatih Negeri Sembilan Wan Jamak Wan Hasan berkata beliau belum mahu mendabik dada walaupun skuad bimbingannya kini berada di tempat teratas Liga Super setelah memenangi dua perlawanan yang dilalui setakat ini.

Katanya perlawanan Liga Super baru bermula dan adalah sukar untuk menilai kemampuan setiap pasukan.

"Apa pun, saya berpuas hati dengan prestasi Negeri Sembilan setakat ini. Dua kemenangan ini memberi dorongan kepada setiap pemain mempamerkan persembahan terbaik mereka untuk mengharungi perlawanan seterusnya.

Saya berharap setiap pemain akan memberi fokus dalam setiap perlawanan yang dilalui," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Negeri Sembilan dengan T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam Selasa.

Mengulas kemenangan 3-1 Negeri Sembilan ke atas T-Team, beliau berkata ia satu keputusan yang memberangsangkan setelah mencapai kemenangan tipis 1-0 ke atas Harimau Muda A Sabtu lepas.

"Pemain saya agak berhati-hati pada separuh masa pertama, namun mereka bangkit pada separuh masa kedua untuk mencapai kemenangan selesa," katanya.

Pada musim ini, selain mengekalkan beberapa pemain berpengalaman musim lepas seperti Shukor Adan, Idris Karim, Shahurain Abu Samah, Aidil Zafuan Abd Radzak, Zaquan Adha Abd Razak dan S. Kunalan, Negeri Sembilan turut diperkuatkan dengan tujuh pemain baru iaitu Hairuddin Omar, Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadli Idrus, Farizal Marlias, Ahmad Fikri Saarani, Ahmad Aminuddin Shaharuddin dan G. Mahathevan.

Sementara itu, jurulatih T-Team Yunus Alif berkata rentak permainan yang kurang kemas dan hilang konsentrasi pemainnya pada babak kedua dimanfaatkan oleh pasukan lawan.

"Walaupun agak kecewa, namun perlawanan Liga Super masih awal dan saya berharap persembahan pemain saya akan meningkat pada perlawanan akan datang. Saya juga berharap dapat baiki segala kelemahan yang dikenal pasti," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anuar Akui Sukar Rebut Jersi Biru

Artikel Lain