suria

Sukan Mampu Menyatukan Rakyat - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sukan, terutamanya bola sepak, mempunyai keupayaan untuk menyatukan rakyat.

Perdana Menteri berkata beliau sendiri mengalaminya Disember tahun lepas, semasa sama-sama bersorak untuk pasukan kebangsaan menentang Vietnam dalam Piala Suzuki AFF.

"Tenaga malam itu, semasa duduk bersama rakyat di Jalan Bukit Bintang dapat dirasakan dan tiada sesiapa pun tidak terikut dilanda oleh gelombang itu," katanya dalam blog 1Malaysianya di bawah tajuk "Bersatu Kita Teguh", Ahad.

Najib berkata pasukan negara telahpun mendapat pujian daripada pemain Manchester United dan menurutnya mereka seharusnya menerima ini sebagai satu motivasi untuk memperbaiki diri.

Katanya beliau juga sedang menanti-nantikan saat bertemu dengan pasukan bola sepak Malaysia hari Rabu ini untuk mengucapkan tahniah kepada mereka dan menambah bahawa pemain-pemain muda ini merupakan masa hadapan bola sepak negara dan berpotensi untuk membangkitkan semula sukan ini di negara ini.

Berbicara tentang sukan, Najib berkata beliau seboleh-bolehnya cuba mengikuti perkembangan pasukan sukan kegemarannya.

"Saya dapat menikmati masa peribadi bersantai bersama isteri dan anak-anak (kucing-kucing saya juga), pergi berjoging seperti biasa dan tidak melepaskan peluang untuk menonton Bola Sepak Liga Perdana Inggeris," katanya.

Menurutnya seperti mana peminat-peminat Manchester United yang lain, ia menyeronokkan beliau melihat pasukan itu berada di puncak liga dengan kedudukan selesa di hadapan daripada segi mata dan dua perlawanan berbaki.

"Keseronokan ini tidak dikongsi oleh anak perempuan saya, sebab dia adalah penyokong Liverpool. Dia memujuk diri sendiri dengan mengatakan Liverpool ialah "juara akan datang", tetapi ini jugalah yang dia sebut sejak lebih dari sepuluh tahun yang lalu," kata Najib.

"Mungkin terlalu awal untuk merayakan satu lagi kemenangan, namun saya harap Manchester United berupaya mengekalkan kedudukan teratas dalam kejuaraan ini sementara berhati-hati dengan persaingan kelab-kelab lain termasuk Piala FA Inggeris dan Liga Kejuaraan UEFA," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Trofi Ballon D'Or Milik Messi

Artikel Berikut

Artikel Lain