suria

Kafa Mahu Pajak Stadium Sultan Muhammad Ke-IV

KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)menawar untuk memajak Stadium Sultan Muhammed ke-IV daripada kerajaan negeri dengan harga RM10 juta bagi tempoh 30 tahun.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata langkah itu bagi membolehkan persatuan tersebut menaik taraf stadium yang kini berada dalam keadaan daif, bagi membolehkan Kelantan menjadi tuan rumah pada kejohanan bertaraf bintang.

"KAFA tawar untuk memajak stadium ini yang bukan untuk kita ambil sepenuhnya untuk tempoh masa jangka panjang tetapi hanya untuk tempoh 30 tahun demi untuk menaikkan imej bola sepak Kelantan dan negara.

"Jika kerajaan negeri melalui Perbadanan Stadium Kelantan bersetuju, KAFA akan bayar sebanyak RM10 juta dan dalam tempoh itu stadium ini akan berubah wajah daripada apa yang ada sekarang," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung ke-56 KAFA di sini,Jumaat.

Pada mesyuarat itu Annuar diumum menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden untuk tempoh tiga tahun lagi manakala jawatan Timbalan Presiden kini dipegang Datuk Afandi Hamzah.

Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini pernah meminta agar perbadanan stadium itu bertindak segera untuk menaik taraf stadium berkenaan yang kini begitu uzur kerana jika tidak FAM boleh mengambil tindakan untuk tidak membenarkan sebarang kejohanan peringkat kebangsaan seperti Liga Malaysia diadakan di situ.

Beliau berkata surat tunjuk minat telah pun dihantar kepada perbadanan berkenaan untuk dipertimbangkan.

"Perbadanan telah pun membalas surat berkenaan yang meminta KAFA memperincikan beberapa perkara lagi bagi dipertimbangkan di peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata beberapa pihak yang lain telah menyatakan persetujuan untuk menjadi rakan kongsi KAFA bagi membantu menaik taraf stadium itu jika kerajaan negeri bersetuju untuk memajaknya kepada KAFA.

Sementara itu KAFA bercadang untuk membuka keanggotaan KAFA terhadap peminat seperti yang dilakukan oleh kelab terkemuka di luar negara bagi membantu menaikkan imej persatuan itu.

"Kita akan buka keanggotaan dengan yuran yang paling murah dan dengan ada kad ini (keanggotaan) pelbagai insentif akan diberi selain dapat bersama-sama membangunkan sukan bola sepak di negeri ini," katanya.

Selain itu KAFA akan menubuhkan sebuah syarikat anak miliknya bagi menguruskan pasukan The Red Warriors bagi merealisasikan hasrat menjadikan sukan tersebut ditahap lebih profesional.

Katanya dengan adanya syarikat itu nanti, ia membolehkan KAFA menumpukan perhatian membangunkan sukan di peringkat negeri yang lain seperti menghidupkan liga di peringkat daerah.

"Kita akan menumpukan kepada Liga Presiden serta boleh memberikan tumpuan menghidupkan persatuan daerah yang kini mati menyebabkan sukan itu di daerah terbabit agak terbantut.

Sementara itu Annuar melahirkan kebimbangan kerana pemain Kelantan untuk beraksi pada musim baru tahun depan agak goyah dan masih tidak mencapai keserasian di kalangan mereka.

"Kita tidak memberikan harapan yang sangat besar kerana keserasian kini belum wujud dan kebimbangan kita berasas apabila sering tewas pada beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini," katanya.

Kelantan pada musim baru akan kehilangan tonggak utama seperti Indra Putra Mahyuddin, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Nor Farhan Mohamad dan Hairuddin Omar.

Dua pemain Kelantan yang juga pemain kebangsaan adalah penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat dan Nur Shahrul Idlan Talaha yang membantu negara menjulang Piala AFF Suzuki 2010.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain