suria

Bola Keranjang: Balas Dendam Menjadi Misi Johor

SEGAMAT: Balas dendam menjadi misi Johor apabila pasukan bola keranjang wanita mereka mara ke separuh akhir Piala Agong di Stadium Bola Keranjang Segamat malam Rabu.

Johor, pasukan pilihan dan juara 2008, membelasah Perak 125-29 dalam perlawanan pusingan awal terakhir mereka apabila mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kumpulan empat pasukan.

Sebagai pendahulu kumpulan, mereka akan bertemu naib juara dalam satu lagi kumpulan pada separuh akhir pada 25 Disember, iaitu sama ada antara Melaka atau Kuala Lumpur yang akan berentap, Khamis.

"Sasaran kami ialah untuk muncul juara. Saya percaya kami mempunyai kekuatan dan kemahiran untuk mencapainya. Malahan kami sepatutnya muncul juara pada tahun lepas di Nilai tetapi tewas hanya dengan satu mata kepada Kelantan dalam final.

"Seluruh pasukan berasa amat kesal ketika itu. Jadi kami perlu menebus kekecewaan kekalahan pada tahun lepas," kata jurulatih Tai Chen Kuin.

Dalam kategori lelaki, juara bertahan Melaka mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut dalam perlawanan kedua kumpulan menundukkan Sarawak 153-47 untuk menempah tiket bagi empat pasukan teratas.

Pada Selasa, mereka menewaskan Polis Malaysia 113-42 dalam perlawanan pembukaan dan akan bertemu Perak malam Khamis bagi perlawanan akhir kumpulan.

(Kelantan tidak menghantar pasukan pada kejohanan tahun ini). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain