suria

Adi Tidak Puas Hati Dengan Prestasi Meskipun Raih Emas

CHIANG MAI: Walaupun berjaya merangkul emas, atlet lontar peluru Adi Aliffudin Hussin menganggap beliau gagal mempamerkan prestasi terbaiknya pada Sukan Universiti Asean 2010 (AUG) di sini Isnin.

Adi, 22, berkata beliau kecewa dan tidak berpuas hati dengan persembahannya di Kompleks Sukan Universiti Maejo.

"Saya kecewa sebab tak dapat capai sasaran saya. Tak tahu apa yang tak kena, saya tak boleh nak fokus," katanya kepada media Malaysia di sini.

Mahasiswa Universiti Putra Malaysia itu meraih emas dengan lontaran 16.26m iaitu jauh berbeza dengan rekod kebangsaan yang dipegangnya 17.38m.

Atlet tuan rumah Promrob Juntima membawa pulang pingat perak dengan lontaran 15.27m manakala Krisna Wahyu Permana Indonesia memperolehi gangsa (14.21m).

Tahun ini saja sudah tiga kali Adi memecahkan rekod kebangsaan dengan lontaran sejauh 17.18m di Terbuka Taiwan pada bulan April, 17.31m di Sukan Malaysia di Melaka (Jun) dan terakhir beliau melakukan lontaran 17.38m pada Terbuka Austria Julai lalu.

Selain itu, pelari jarak jauh negara turut memeriahkan kem olahraga dengan sumbangan dua emas daripada acara 800m lelaki dan wanita, masing-masing menerusi Mohd Jironi Riduan dan Nurul Fazilah Razman.

Kontinjen negara juga menambah pungutan pingat menerusi Siti Fatimah Mohamad yang meraih perak dalam acara 200m wanita manakala Rahilah Othman dan Muhammad Yunus Lasaleh masing-masing membawa pulang gangsa menerusi lempar cakera wanita dan 800m lelaki. - BERNAMA

Artikel Lain