suria

Yunus Berazam Bawa T'Team Ke Kemuncak

KUALA TERENGGANU: Kehadiran bekas pemain tunggak pasukan Kelantan, Indra Putra Mahyuddin, Nor Farhan Muhamad dan Azizi Mat Rose akan memudahkan tugas jurulatih baru pasukan Terengganu, T'Team, Yunus Alif membentuk pasukan mantap bagi menghadapi saingan Liga Super tahun depan.

Yunus berkata, beliau yakin pemain-pemain berpengalaman dan terkenal itu akan menjadikan tugas beliau untuk mencapai sasaran pasukan itu lebih mudah lagi.

"Saya akan gunakan segala pengalaman dan buah fikiran saya untuk memastikan pasukan T'Team mucul pasukan terbaik tahun depan," katanya.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar hari ini yang Indra, Farhan, Azizi telah mengesahkan menyertai T'Team pada musim akan datang. Yunus yang pernah menjulang kasut emas pada 1984 ketika bersama Pahang memulakan tugas semalam, selepas empat hari mengikuti kursus kejurulatihan di Port Dickson sejak 30 Nov lepas.

Bagi mengukur sejauh mana kehebatan pasukan T'Team, Yunus telah mengatur beberapa perlawanan persahabatan sepanjang bulan ini.

Katanya perlawanan pertama ialah menentang Selangor di Shah Alam pada 14 Dis, diikuti Felda United di Selangor (16 Dis), Pahang di Kuantan (18 Dis) dan Pos Malaysia di sini (20 Dis).

Pertandingan Liga Super akan bermula 15 Jan tahun depan, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain