suria

12 Pasukan Sertai Kejohanan Badminton Piala Menteri Besar Kedah

ALOR SETAR: Dua belas pasukan akan berentap pada Kejohanan Badminton Melayu Kebangsaan Piala Menteri Besar Kedah 2010 selama lima hari bermula 10 Disember ini di Dewan Persatuan Badminton Kedah, Suka Menanti di sini.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah Syed Khairul Anuar Syed Abidin berkata kejohanan kali kedua anjuran Persatuan Badminton Melayu Kedah (PBMK) kali ini disertai 380 pemain dari Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Perlis dan Selangor, selain Kedah yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu bagi merebut Piala Menteri Besar.

Katanya, kejohanan itu dibahagikan kepada kategori berpasukan yang melibatkan perseorangan lelaki remaja, perseorangan lelaki terbuka, beregu lelaki terbuka dan beregu lelaki veteran, yang dikhaskan untuk kaum Melayu serta beregu lelaki terbuka kepada semua kaum bagi bukan Melayu.

Selain itu, terdapat kategori individu yang terbuka kepada semua kaum iaitu perseorangan lelaki terbuka, lelaki veteran, beregu lelaki terbuka, beregu lelaki veteran dan beregu lelaki super veteran," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada 14 Disember ini.

Kejohanan kali ini menyediakan hadiah keseluruhan bernilai RM12,000 kepada pemenang setiap kategori dengan johan kategori berpasukan membawa pulang Piala Menteri Besar Kedah dan wang tunai RM3,000, naib johan RM2,000 dan tempat ketiga bersama RM1,000.

Sementara itu, Presiden PBMK Abdul Halim Mahyuddin pula berkata pihaknya berhasrat menjemput tiga pasukan luar iaitu Persatuan Badminton Melayu Thailand, Singapura dan Indonesia yang telah menyuarakan hasrat untuk menyertai kejohanan ini pada masa akan datang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain