suria

Akmal Rizal Sertai Perak Kerana Mahu Ikut Cikgu Jan

IPOH: Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang baru menjulang Piala Malaysia bersama pasukan Kelantan musim lepas berkata keputusannya untuk menyertai Skuad Seladang pada musim 2011 adalah untuk kembali bersama bekas jurulatihnya iaitu Norizan Bakar.

"Saya berpengalaman di bawah latihan Cikgu Jan (Norizan) sejak berumur 14 tahun dan keserasiaan yang ada membolehkan saya mendapat pelbagai pendedahan bersama pasukan Perak kelak," katanya di sini hari ini pada majlis pelancaran jersi baru pasukan Perak yang bakal menggunakan jenama Specs.

Akmal Rizal berkata barisan pemain muda yang dimiliki Perak juga mampu bermain lebih cemerlang di bawah tunjuk ajar Cikgu Jan.

Norizan pernah menjadi jurulatih pasukan kebangsaan dari November 2005 hingga Julai 2007 setelah tamat kontrak Bertalan Bicskei.

Mengenai jersi baru itu, Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Datuk Zainol Padzi Paharuddin berkata jersi Specs akan digunakan untuk kejohanan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim 2011.

PAFA turut melancarkan dua jenis tiket bermusim bernilai RM100 bagi tempat duduk tidak berbumbung dan RM150 bagi tempat duduk berbumbung.

"Pembawa kad ini boleh menonton kesemua 25 perlawanan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim 2011 yang berlangsung di Stadium Perak.

"Sebagai permulaan kami melancarkan 1,000 kad bermusim dan sesiapa yang ingin memilikinya boleh mendapatkannya di Pejabat PAFA selepas 1 Dis ini," jelas Zainol Padzi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Chelsea Sekadar Kutip Seri

Artikel Lain