suria

Muhammad Rauf Ungguli GP Sarawak

KUCHING: Pelumba kelahiran Selangor, Muhammad Rauf Nur Misbah membuktikan pengorbanannya untuk menumpukan pembelajaran sambil berkayuh tetap membuahkan kejayaan apabila muncul juara Kejohanan Lumba Basikal Grand Prix Kebangsaan Pusingan Ke-4 sejauh 189 kilometer di Petrajaya pada Sabtu.

Selepas terpaksa berehat panjang kerana terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di hadapan Hospital Serdang menjelang pemilihan Le Tour de Langkawi 2010 tahun lalu, pelajar diploma Pengurusan Sukan Universiti Selangor (Unisel) itu menang dengan masa empat jam 38 minit 33 saat.

Tempat kedua dan ketiga pula milik Mohd Razif Salleh daripada LeTua Cycling Team dan Wan Mohd Najmee Wan Mohammed dari Kuala Lumpur dengan rakaman masa 4:40.03s serta 4:42.46s.

Kejayaan muncul juara kategori lelaki terbuka itu dianggap cukup bermakna buat Rauf selepas gagal menempatkan diri dalam kelompok tiga pelumba terbaik pada tiga pusingan terdahulu iaitu di Alor Setar, Kedah; Johor Bahru, Johor dan Kemaman, Terengganu.

“Saya gembira dan bersyukur kerana akhirnya impian saya untuk menjuarai salah satu pusingan pada Grand Prix Kebangsaan tercapai.

“Namun kejayaan saya ini tidak akan dicapai sekiranya saya tidak mendapat sokongan dan kerjasama daripada seluruh ahli pasukan termasuk rakan sepasukan (Sarham Miswan),” jelas Rauf sejurus selepas tamat perlumbaan semalam.

Paling manis, kejayaan itu melonjakkan Muhammad Rauf Nur ke kedudukan kedua keseluruhan dengan 29 mata keciciran lima mata di belakang Sarham yang kekal menduduki tempat pertama keseluruhan dengan 34 mata.

Pelumba Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Fadzli Anwar Mohd Fauzi turut berkongsi tempat kedua dengan 29 mata manakala juara pusingan 3, Suhardi Hassan daripada pasukan Kuala Lumpur tempat ketiga 28 mata.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Abu Samah Abd Wahab menganggap kejayaan Muhammad Rauf Nur satu petanda positif kepada perkembangan skuad lebuh raya Negara menjelang Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL 2011).

“Lebih ramai yang menang lebih bagus. Ini bermakna kita mempunyai ramai pelumba yang sentiasa boleh menang sesuatu perlumbaan,” katanya.

Sementara itu, pelumba Kedah, Masziyaton Mohd Radzi nyata terlalu unggul apabila sekali lagi dinobatkan selaku juara bagi kategori wanita terbuka sejauh 107.1km.

Masziyaton yang akan menggalas cabaran Malaysia dalam acara mountain bike pada Sukan Asia di Guangzhou, China minggu depan, mengesahkan kejuaraan menjadi miliknya apabila mencatat masa 3:35.01s.

“Syukur Alhamdulillah, saya dapat menjuarai perlumbaan di Kuching. Sebenarnya, saya tidak mahu meletakkan sasaran pada awal perlumbaan kerana fokus saya lebih kepada mengekalkan rentak kayuhan sepanjang perlumbaan berlangsung,” jelasnya.

Pelumba Sarawak, Junaidah Juss menceriakan peminat tuan rumah apabila muncul naib juara selepas merekodkan masa 3:38.40s manakala tempat ketiga milik Suryani Mohamad daripada pasukan Terengganu dengan catatan 3:45.22s.

Bagi kategori lelaki junior (bawah 18 tahun), pelumba Terengganu, Nur Amirul Fakharuddin Mazuki muncul juara selepas mencatat masa 3:01.33s.

Pelumba pasukan pelapis kebangsaan, Mohd Ekbar Zaman Huri menduduki tangga kedua dengan catatan 3:04.13s manakala Mohammad Azami Senan daripada pasukan Johor di tangga ketiga (3:06.36s).

Artikel Sebelum

Artikel Lain