suria

Persembahan Zamri Boleh Dibanggakan

Aksi Zamri Baba selepas berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-22. Foto BERNAMA
Aksi Zamri Baba selepas berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-22. Foto BERNAMA
Aksi Zamri Baba selepas berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-22. Foto BERNAMA

SEPANG:Pujian harus diberikan kepada pelumba Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS, Mohamad Zamri Baba yang turun beraksi dalam kategori Moto2 buat pertama kalinya dalam perlumbaan Grand Prix MotoGP Malaysia di sini atas tiket wildcard.

Meskipun bermula di petak ke-31, Zamri bangkit memperbaiki kedudukan di tempat ke-22 daripada 39 pelumba yang bertanding dengan catatan masa 41:55.443 saat.

Tiada apa yang mampu diungkapkan pelumba dari Klang, Selangor itu melainkan rasa syukur kerana dapat menamatkan perlumbaan 19 pusingan dengan disaksikan seramai 62, 141 penonton yang hadir pada hari ini (Ahad).

"Saya amat berpuas hati dan bersyukur. Perlumbaan hari ini (Ahad) boleh dianggap sempurna bagi diri saya. Pengalaman berlumba dalam kategori ini banyak mengajar saya untuk memperbaiki skil tunggangan pada masa akan datang," katanya ketika ditemui media selepas tamat perlumbaan, Ahad.

Beraksi buat pertama kalinya dalam perlumbaan besar seperti ini, Zamri mengakui dihantui perasaan gemuruh andai gagal menamatkan saingan dengan disaksikan ribuan penyokong di tempat sendiri.

"Awalnya saya rasa gemuruh tetapi pada masa sama lebih ghairah untuk berlumba. Saya berterima kasih kepada peminat yang hadir memberikan sokongan," jelasnya.

Begitupun, Zamri yang mewakili negara dalam Moto2 buat julung kalinya dengan menggunakan jentera Moriwaki berharap agar diberi peluang kedua untuk bersaing dalam perlumbaan antarabangsa musim depan.

Sementara itu, pengurus pasukan Petronas SIC TWMR Malaysia, Ron Hogg berkata, beliau amat berbangga dengan usaha keras Zamri sepanjang perlumbaan itu.

"Zamri boleh dianggap hero pada hari ini (Ahad). Walaupun tiada pengalaman dalam perlumbaan besar itu, dia berada di depan pelumba seperti Anthony West yang pernah menjadi pelumba MotoGP dan Joan Olive, pelumba terkemuka Jerman," katanya.

Perlumbaan Grand Prix MotoGP pusingan ke-16 akan berlangsung di Litar Phillip Island, Melbourne, Australia pada 17 Oktober ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain