suria

Katrina Ann Gagal Lagi Dalam Acara Renang Berirama Hari Ini

NEW DELHI: Nasib ternyata tidak menyebelahi Katrina Ann Abdul Hadi apabila perenang negara itu gagal meraih sebarang pingat disebabkan perbezaan mata yang amat kecil dalam acara solo rutin bebas renang berirama di Sukan Komanwel di sini Khamis.

Beliau yang menduduki tempat ke lima hari ini memperolehi hanya 1.333 mata di belakang Lauren Smith dari Scotland yang memenangi pingat gangsa selepas memperolehi 80.333 mata.

Perenang Australia Tarren Otte memperolehi 79.167 mata untuk menduduki tempat keempat.

Semalam Katrina hanya ketinggalan satu mata di belakang Lauren Smith dari Scotland yang mengumpul 79.834 mata, juga untuk mendapat pingat gangsa dalam acara solo Rutin Teknikal Renang Berirama.

"Ini cukup mengecewakan kerana saya sudah melakukan yang terbaik tanpa banyak kesilapan, tapi ia adalah keputusan akhir oleh juri dan tiada apa yang boleh dilakukan mengenainya lagi," katanya ketika ditemui di Dr S.P.Mukerjee Swimming Complex di sini selepas acara.

Pingat emas dimenangi oleh Marie-Pi Bourdreau-Gagnon dari Kanada yang memungut 95.333 mata, manakala Jenna Randall dari England memenangi perak selepas memungut 90.834.

Katrina berkata kekalahan itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk bertanding dalam Sukan Asia di Guangzhou, China bulan depan.

Sementara itu Lee Zhien Huey dan Png Hui Chuen mengulangi kekalahan dalam acara Duet Wanita Final Rutin Teknikal semalam apabila mereka hanya mampu menduduki tempat keempat dalam Rutin Bebas acara itu di sini hari ini selepas memungut 77.833 mata.

Marie-Pi dan Chloe Isaac dari Kanada memenangi emas selepas memungut 95.333 mata, Olivia Allison dan Jenna Randall dari England (perak) selepas mengumpul 90.167 mata dan Eloise Amberger serta Sarah Bombell dari Australia (gangsa) selepas memungut 79.500. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain