suria

FAM Perlu Masa Kaji Ambil Semua Pemain Import

PETALING JAYA: Harapan untuk melihat pemain import kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim 2012 mungkin tidak kesampaian kerana pelbagai isu terutama yang melibatkan pembayaran gaji perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata isu pengambilan pemain asing hanya akan diputuskan pada tahun hadapan setelah selesai masalah berhubung isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pembayaran tertunggak kepada pemain import.

"Jawatankuasa eksekutif perlukan sedikit masa. Ada beberapa perkara baru perlu kita kaji kembali sebelum mengambil pemain luar ini semula dan saya tidak mahu mengumumkan perkara ini selagi kita tidak mendapatkan maklumat terperinci," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di sini Isnin.

Seorang lagi Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa pada satu sesi percambahan minda minggu lepas, mencadangkan agar Liga Malaysia dibuka kembali kepada pemain asing pada musim 2012 dengan keutamaan kepada pemain dari Asia.

Tengku Abdullah berkata semua isu yang berkaitan perlu diselesaikan sebelum struktur perlawanan musim hadapan dirangka.

"Kita tidak boleh tergesa-gesa mengimport pemain luar tanpa memikirkan penyelesaian isu tersebut, semata-mata ingin cepat menaikkan standard bola sepak dalam lingkungan jangka masa setahun ini.

"FAM bagaimanapun melihat dan mengira implikasi daripada jangka masa panjang juga," katanya.

Baginda berkata FAM sedang memikirkan kemungkinan pemain setiap pasukan dikurangkan untuk mewujudkan satu kumpulan pemain yang benar-benar berkualiti.

Terdahulu mesyuarat jawatankuasa berkenaan membincangkan pelantikan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu dan akan diumumkan dalam sehari dua ini.

Menyentuh persiapan pasukan negara, Tengku Abdullah berkata pasukan bawah 23 akan beraksi di Guangzhou dalam Sukan Asia pada November ini dan pasukan senior pula akan menggalas cabaran negara dalam Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki di Jakarta pada Disember.

Pada Disember juga, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur akan menganjurkan 'KL City Cup' dan akan menjemput beberapa pasukan dari rantau ini.

"Kita akan membariskan pasukan bolasepak bawah 19 dalam KL City Cup nanti," kata Tengku Abdullah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain