suria

Zamri Tidak Mahu Perasaan Gementar Selubungi Diri

SEPANG: Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi bagi pelumba negara, Mohd Zamri Baba mempersiapkan diri bagi menghadapi perlumbaan kategori Moto2 di Grand Prix Motosikal Malaysia pada 8 hingga 10 Oktober ini di Litar Sepang.

Bagaimanapun, pelumba berusia 27 tahun itu enggan membiarkan perasaan gementar berdepan saingan dalam MotoGP menyelubungi dirinya.

Pada 20 September lepas, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Razlan Razali telah mengumumkan pemilihan beliau untuk mengisi slot 'wild card' kategori Moto2 di Grand Prix Malaysia.

"Sudah semestinya perasaan gementar itu ada, tetapi saya mahu ia tidak mengganggu tumpuan saya menghadapi saingan pertama seumpamanya dalam MotoGP.

"Berlumba dalam perlumbaan MotoGP adalah cita-cita saya, dan sudah semestinya saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan kepada saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi go-kart bersama media di Litar Go-Kart SIC hari ini.

Beliau akan menyertai rakan senegara, Zulfahmi Khairuddin, yang beraksi dalam kategori 125cc musim ini, bagi membawa cabaran negara pada perlumbaan di Litar Sepang.

Menurut Mohd Zamri, sasaran beliau pada penampilan sulungnya di Litar Sepang hujung minggu ini adalah untuk menamatkan perlumbaan.

"Saya tidak fikir untuk mencapai kedudukan yang tertinggi, tetapi saya mahu realistik dengan peluang yang diberikan kepada saya. Boleh dikatakan saya tidak mempunyai tekanan dalam perlumbaan ini kerana saya berlumba atas tiket wild card," katanya.

Mohd Zamri berkata, setakat ini, persiapan beliau agak rapi khususnya dari segi kecergasan, fizikal dan mental. Ditanya mengenai motosikal yang bakal digunakan pada perlumbaan di Litar Sepang, beliau berkata ia hanya akan diketahui pada sesi latihan bermula Jumaat ini.

Penyertaan Mohd Zamri pada perlumbaan Grand Prix Malaysia direalisasikan menerusi kerjasama rapat oleh SIC, Two Wheels Motor Racing, Petronas dan pembekal casis Jepun, Moriwaki. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain