suria

BAM Kaji Skim Bonus, Elaun Baru Pemain Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mengkaji semula skim bonus dan elaun untuk pemain kebangsaan bagi menggalakkan mereka meningkatkan lagi pencapaian mereka.

Presiden BAM, Datuk Nadzmi Salleh berkata persatuan itu akan mengkaji perkara itu dengan teliti termasuk mendapatkan respon daripada jurulatih.

"Kami bercadang melaksanakan (skim bonus baru) tahun depan. Antara lain, kami mungkin menaikkan bonus untuk kejohanan utama seperti Piala Thomas Cup, Piala Dunia dan Olimpik.

"Kami juga ingin memanjangkan skim itu kepada pemain junior, tetapi masih dalam proses perbincangan," katanya selepas mesyuarat jawatankuasa BAM di sini, semalam.

Selain itu kata Nadzmi, BAM akan menggunakan khidmat firma audit untuk memantau proses pengurusan dan pentadbiran persatuan itu.

"Ini adalah usaha kami untuk meningkatkan tahap profesionalisme BAM," katanya lagi.

Menurut beliau mesyuarat itu juga mengambil keputusan menggantung pemain pasangan beregu Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari selama sebulan bermula 15 Jun hingga 14 Julai.

Keputusan itu, katanya, diambil selepas mempertimbangkan tekanan dihadapi Mohd Fairuzizuan.

Pemain itu bertindak balas terhadap ejekan sekumpulan penyokong dengan menunjukkan tanda lucah berikutan kekalahan Mohd Fairuzizuan dan pasangan regunya, Mohd Zakry Abdul Latif ketika bertemu pasangan Jepun di Piala Thomas, Mei lalu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain