suria

Taufik Hidayat Arena Tawar Latihan Percuma

JAKARTA: Kanak-kanak Indonesia yang berbakat berpeluang menjalani latihan badminton secara percuma di pusat latihan "Taufik Hidayat Arena" yang sedang dibangunkan di Ciracas, Jakarta Timur menjelang tahun 2011.

Gelanggang latihan itu yang dibina atas inisiatif pemain badminton perseorangan lelaki terbaik Indonesia Taufik Hidayat, terbuka kepada kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

"Pesertanya siapa saja, dari mana saja akan boleh berlatih bersama. Nanti akan ada pemilihan dan bagi yang berbakat akan dididik tanpa dikenakan bayaran," kata Taufik selepas meletakkan batu asas pembinaan arena badminton itu semalam.

Bangunan di atas tanah seluas 6,600 meter persegi itu akan dilengkapi lapan gelanggang badminton berserta tempat duduk penonton, asrama, gimnasium, bilik perubatan dan fisioterapi selain sebuah gelanggang futsal.

Pemain yang memenangi pingat emas di Olimpik Athens serta Kejohanan Dunia 2005 dan kini menduduki ranking kelima dunia, berharap arena atas nama beliau itu dapat melahirkan pemain badminton kebangsaan dalam masa sepuluh tahun lagi.

Bagi tujuan itu Taufik akan bekerjasama dengan kelab tempat latihannya semasa junior iaitu Sangkuriang Graha Sarana Electrik (SGS Elektrik) Bandung, untuk mencari pelatih dan jurulatih.

Pusat latihan itu juga akan mendapatkan kerjasama para pemain profesional dari pelbagai negara untuk turut mengembangkan program latihannya.

Pembangunan arena itu disokong oleh Ketua Jawatankuasa Sukan Indonesia (KONI) Rita Subowo dan Ketua Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI), yang juga Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Djoko Santoso.

Mereka berharap niat baik itu akan memperbaiki kualiti pemain badminton di Indonesia, yang selama beberapa tahun terakhir ini mengalami kemerosotan.

Taufik, yang kini menyandang jawatan Timbalan Ketua Umum SGS Elektrik, telah setahun keluar dari program latihan nasional dan telah mewujudkan pengurusan latihan sendiri dengan nama THForce.

Anak kelahiran Bandung, Jawa Barat, yang berusia 29 tahun dan kini mempunyai dua anak, bertindak keluar daripada program latihan nasional agar pemain-pemain lebih muda dapat mengganti tempatnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain