suria

Tiga Pelumba Negara Di Melbourne Bakal Mantap Skuad Sukma Terengganu

KUALA TERENGGANU: Tiga pelumba basikal negara yang kini sedang menjalani latihan di Melbourne, Australia, akan membantu skuad Terengganu bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di Melaka, bulan depan.

Jurulatih Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata pelumba terbabit ialah Mohd Haris Salleh, Adiq Husaini Othman dan Fatihah Mustafa.

"Mereka dijadualkan balik ke sini pada 6 Jun untuk menyertai skuad lumba basikal Terengganu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya Terengganu juga akan menurunkan 10 lagi pelumba kebangsaan bagi mempertahankan pungutan sembilan pingat emas yang dimenanginya pada edisi 2008.

Mereka ialah Mohd Saufie Mat Senan, Shahrul Mat Amin, Sharul Ariza Fauzan, Yusliza Yusof, Mohd Fais Sharifuddin Abdul Kadir, Mohd Sabri Abdullah, Nuramirul Fakhuddin Marzuki, Mohd Shakir Ismail, Mohd Khairul Azizi Abdullah dan Fazma Mamat.

Katanya Terengganu menyenaraikan 23 orang pelumba untuk menggalas cabaran pada Sukma yang akan bermula pada 12 Jun hingga 19 Jun ini.

Syed Mohd Hussaini menyifatkan Sukma kali ini lebih mencabar dan oleh itu pasukan negeri telah melipatgandakan latihan terutamanya melibatkan bakat-bakat baru.

Katanya, latihan jarak jauh juga diadakan di luar Terengganu bagi menyesuaikan diri dengan keadaan, antaranya dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, sejauh 1,000 kilometer pergi dan balik sebagai latihan fasa akhir.

Artikel Lain