suria

Empat Lagi Kumpulan Sertai Piala Sudirman

KUALA LUMPUR: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah memperkenalkan format baru pada kejohanan campuran dunia, Piala Sudirman, dengan menambah empat lagi kumpulan, menjadikan kesemua 12 kumpulan, pada tahun depan.

Kejohanan dwitahunan itu akan berlangsung di Qingdao, China, dari 22 hingga 29 Mei tahun depan.

Ketua Pegawai Operasi BWF Thomas Lund berkata langkah memperkenalkan format baru itu akan membolehkan negara yang mempunyai pemain berkualiti mendedahkan pemain mereka di peringkat antarabangsa.

"Kira-kira 50 negara dijangka menyertai kejohanan itu mengikut kumpulan pada tahun depan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan badan itu di sini semalam.

Ditanya mengenai pemilihan China sebagai tuan rumah kejohanan itu, Lund berkata negara itu mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk menghoskan pertandingan itu.

"Kami tertarik dengan kemudahan dan hospitaliti yang disediakan oleh China pada Kejohanan Piala Sudirman lepas," jelasnya.

China muncul juara Piala Sudirman di Guangzhou tahun lepas selepas menewaskan Korea Selatan 3-0 pada perlawanan akhir.

Kejohanan diperkenalkan pada Mei 1989 sempena nama bekas pemain Indonesia, Dick Sudirman, yang juga pengasas Persatuan Bulu Tangkis Indonesia (PBSI).

Artikel Sebelum

Webber Takluk Monaco

Artikel Berikut

Artikel Lain