suria

Adiq Timba Pengalaman Di Eropah

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal kebangsaan Adiq Husainie Othman kini giat menyertai perlumbaan di benua Eropah bersama pasukan dari Australia, Drapac Porsche, sejak awal bulan ini.

Pelumba berusia 19 tahun itu menyertai empat daripada 12 perlumbaan yang dirancang sehingga penghujung bulan depan di sekitar Belanda, Luxemburg, Belgium, Perancis dan Ireland.

"Selain dapat menimba pengalaman, ini adalah sebahagian daripada persiapan saya bagi menghadapi Kejohanan Lebuh Raya Dunia yang akan berlangsung di Australia pada penghujung September ini.

"Pengalaman beraksi di sini (Eropah) adalah satu pengalaman yang baru kepada saya kerana terdapat banyak perbezaan berbanding berlumba di Asia," katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata antara perbezaan terbabit adalah dari segi kelajuan, jumlah peserta, persaingan pelumba yang lebih agresif serta jalan perlumbaan yang lebih kecil.

"Ada perlumbaan yang hanya memerlukan empat jam bagi menamatkan jarak 200 kilometer berbanding lima jam di Asia. Malah, terdapat perlumbaan yang mempunyai sehingga 300 pelumba," katanya.

Adiq berkata semua itu merupakan pengalaman baru baginya dan melengkapkan dirinya menjadi pelumba yang disegani pada satu masa nanti.

Mengenai Kejohanan Lebuh Raya Dunia itu, Adiq berkata beliau dijangka menyertai acara lepas beramai-ramai bawah 23 tahun yang membabitkan jarak 159 kilometer.

"Saya cuma mensasarkan untuk berada di kelompok 15 pelumba terbaik kerana sedar persaingannya sangat sengit, namun jika mendapat kedudukan yang lebih baik ia merupakan satu bonus," katanya.

Pelumba kelahiran Terengganu itu merupakan antara barisan pelumba remaja negara yang berbakat setelah meraih pingat gangsa di dalam acara scratch pada Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Dunia tahun lepas.

Kecemerlangannya itu membolehkan beliau diserapkan menyertai skuad elit untuk berlatih di bawah bimbingan ketua jurulatih kebangsaan, John Beasley di Melbourne, Australia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Webber Takluk Monaco

Artikel Berikut

Artikel Lain