suria

CEO Man Utd: Sir Alex Akan Dapat Peruntukkan Baru Musim Depan

PADA SAAT DAN KETIKA Sir Alex Ferguson hampir pasti berputih mata melihat Chelsea merampas kejuaraan liga dari tangannya musim ini, Ketua Pegawai Eksekutif Manchester Utd, David Gill dengan segera memberi jaminan, mereka akan memperuntukkan sejumlah bajet yang mencukupi untuk pengurus itu membeli pemain-pemain baru musim depan.

Hutang yang tinggi yang ditanggung oleh pemilik Manchester Utd, iaitu keluarga Glazer telah mencetuskan spekulasi bahawa Ferguson mungkin akan dipaksa mencari pemain baru dalam bajet yang ketat tetapi nampaknya jaminan David Gill telah mengubah senario tersebut.

Buat masa ini, Ferguson telah membeli dua orang pemain iaitu Chris Smalling dan penyerang sensasi Mexico, Javier Hernández. Tetapi untuk sebuah kelab juara seperti United, dua orang pemain tidak ternama tidak mencukupi untuk mencipta sensasi dan juga momentum sepertimana masa-masa lalu.

"Saya boleh mengesahkan kepada anda semua bahawa Manchester Utd telah bersetuju untuk memperuntukkan sejumlah bajet yang besar untuk pengurus kami membawa masuk pemain-pemain baru tetapi bukanlah menjadi amalan kelab ini untuk menamakan nama atau senarai pemain yang menjadi sasaran kami sebelum sebarang urusan tercatat di dalam kertas perjanjian," ujar David Gill kepada pemberita selepas menerima kunjungan Persatuan Penyokong Orang Kurang Upaya Manchester Utd.

Di sebalik kematangan dan prestasi memuncak Wayne Rooney musim ini United masih tidak dapat lari daripada menerima tempias kesan kehilangan Christiano Ronaldo dan juga Carlos Teves yang telah menjaringkan lebih 50 gol di antara mereka sepanjang musim ini untuk kelab baru masing-masing.

Ini tidak termasuk lagi kehilangan 17 pemain kerana kecederaan untuk tempoh melebihi sebulan.

Para pengkritik berkata, pemergian Ronaldo ke Real Madrid telah membantu membuka pintu kepada Rooney untuk melonjak naik dalam semua segi tetapi pada masa yang sama hakikatnya ialah menjual Ronaldo turut menjejaskan prestasi Manchester United dalam cara yang lain pula.

Ini bukan sahaja kerana sumbangannya terhadap gol-gol united pada saat-saat getir tetapi juga kerana kesan 'wow' dan juga faktor kehadirannya boleh meninggalkan kesan negatif kepada lawan.

Dan suka atau tidak, faktor 'wow' itu tadi telah hilang dari sisi United musim ini apatah lagi di penghujung musim, Rooney telah mengalami kecederaan yang menjejaskan rentak United manakala Berbatov secara tiba-tiba kehilangan bisa di barisan hadapan.

Seandainya Ahad depan, trofi EPL berpindah ke Stamford Bridge, Sir Alex Ferguson tidak ada pilihan melainkan untuk "offload" Berbatov dan mencari seorang penyerang ternama bagi mengembalikan faktor 'wow' yang telah hilang sejak perpindahan Ronaldo.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain