suria

Shabery Mahu Pemain Badminton Teruskan Perjuangan

SHAH ALAM: Pemain skuad badminton Piala Thomas dan Piala Uber tidak harus patah semangat dan perlu meneruskan perjuangan untuk menghadapi kejohanan Ahad ini walaupun tanpa kehadiran ketua jurulatih perseorangan kebangsaan, Rashid Sidek yang disahkan positif Influenza A (HINI).

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata: "Situasi ini bukanlah sesuatu yang kita harapkan, namun pemain perlu menjadikannya sebagai cabaran dan rangsangan untuk mencipta kejayaan. "Malah inilah peluang untuk pemain menunjukkan rasa terima kasih kepada Rashid yang selama ini menurunkan ilmu dan tunjuk ajar kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kejohanan Rali Sprint Malaysia KBS-Pennzoil-AAM, petang semalam.

Beliau turut mengingatkan pemain agar sentiasa menjaga diri mereka terutama dari aspek kebersihan bagi mengelakkan sebarang jangkitan kerana di saat-saat seperti ini kecergasan sepenuhnya diperlukan.

"Saya juga baru di maklumkan oleh pihak Institut Sukan Negara (ISN) bahawa kesemua pemain-pemain badminton kita bebas dari sebarang jangkitan H1N1," katanya.

"Cuma saya berharap sokongan orang ramai terhadap pemain kebangsaan tidak akan berkurangan dengan perkembangan terbaru ini kerana di saat-saat seperti ini rakyat Malaysia perlu memberikan sokongan dan semangat," katanya.

Mengulas mengenai keadaan Rashid dan keluarganya yang kini mendapat rawatan di salah sebuah hospital swasta, Ahmad Shabery berkata beliau bersimpati dengan apa yang berlaku.

Rashid dan anak perempuannya yang berusia lima tahun disahkan positif H1N1 pada Sabtu lepas manakala isteri serta anaknya berusia 13 bulan pula disahkan positif H1N1 semalam.

Kejohanan Rali Sprint Malaysia KBS-Pennzoil-AAM akan berlangsung sebanyak empat pusingan bermula 15 Mei ini sempena sambutan Hari Belia Negara. -BERNAMA

Artikel Lain