suria

Chelsea Hampiri Kejuaraan Tapi Ferguson Arah Pemain Bermain Cara MU

NAMPAKNYA Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti hanya perlu bersabar satu perlawanan sahaja lagi sebelum menjulang Piala Liga Perdana Inggeris secara rasmi minggu depan.

Namun Pengurus Manchester Utd, Sir Alex Ferguson pula sementara mengakui pasukannya hampir tiada harapan untuk mempertahankan gelaran mereka untuk kali yang keempat berturut-turut tetap meminta anak-anak buahnya agar bermainan cara United iaitu untuk menang pada perlawanan terakhir mereka menentang Stoke City.

Selepas menewaskan Liverpool yang kelihatan keletihan 2-0 pada malam Ahad hasil jaringan Didier Drogba dan Frank Lampard ini bermakna Chelsea akan dinobatkan sebagai juara baru sekiranya mereka menewaskan Wigan Athletic Ahad depan.

Walaupun Chelsea wajib menang dalam perlawanan itu untuk memastikan genggaman mereka ke atas Piala EPL tidak terlepas ke tangan Manchester Utd tetapi bermain di Stamford Bridge sudah pastinya akan memberi satu kelebihan.

United yang masih mengejar Chelsea dari belakang menang 1-0 ke atas Sunderland, hasil tendangan lencong yang cantik daripada Nani. Mereka kini satu mata di belakang Chelsea dan akan berhadapan dengan Stoke City minggu depan.

Sepertimana Chelsea, Manchester Utd juga mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri.

Dalam perlawanan menentang Liverpool, Chelsea telah memperlihatkan permainan counter-attack yang berkesan di sebalik tekanan yang tinggi daripada Liverpool sendiri dan juga peminat tetapi kelebihan Chelsea ialah mereka berjaya mengawal emosi mereka dan bermain secara konsisten sepanjang 90 minit.

Kata pengurus Chelsea, para pemainnya telah memperlihatkan kondisi fisikal yang baik di samping kekuatan mentaliti dan disiplin yang tinggi.

"Sekarang kami hanya perlu berlatih dengan teliti dan mengekalkan keadaan fizikal para pemain pada tahap maksima untuk perlawanan Ahad ini," ujarnya.

Sebaliknya Liverpool pula amat jelas sekali kelihatan sangat keletihan selepas memberikan segala-galanya dalam perlawanan separuh akhir kedua Liga Eropah menentang Atlético Madrid Khamis lalu dan itu menjadi punca kekalahan mereka semalam.

Kini Chelsea telah diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menjulang Piala Liga Perdana Inggeris buat pertama kalinya sejak era Jose Maurinho tetapi Ferguson menegaskan anak buahnya tetap berazam untuk berjuang hingga ke 'titisan darah terakhir'.

"Sebenarnya kita tidak boleh ambil leka kerana kita tidak tahu apa akan berlaku dalam perlawanan Chelsea menentang Wigan nanti. Apa kata kalau kita menyerah kalah lebih awal tetapi kemudiannya hendak dijadikan cerita Chelsea kalah dalam perlawanan itu, sudah pasti semua orang akan menyesal seumur hidup," kata Ferguson lagi.

Oleh yang demikian, walaupun kebarangkalian untuk mempertahankan kejuaraan sangat tipis pada saat hanya tinggal satu perlawanan sahaja lagi tetapi kata Ferguson para pemainnya perlu mengekalkan rentak permainan yang konsisten dan berjuang untuk menang.

"Yang paling penting bagi United ialah untuk memenangi perlawanan akhir kami di Old Trafford Ahad ini dan bermain untuk kali terakhir musim ini di hadapan para peminat dan penyokong sendiri oleh itu saya telah arahkan semua pemain saya untuk terus berjuang sehingga ke wisel penamat," ujar Ferguson.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain