suria

Khalid Jamlus Sandaran T-Team Ke Piala Malaysia

SETIU: Bekas penyerang kebangsaan, Muhamad Khalid Jamlus menjadi sandaran pasukan T-Team dalam misi mereka meletakkan kedudukan selesa dalam Liga Super dan melangkah ke Piala Malaysia, musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said, yang bertindak sebagai pengurus pasukan, berkata penyerang yang baru menamatkan kontraknya dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu menawarkan diri untuk bersama pasukan T-Team.

"Dengan adanya Muhamad Khalid Jamlus, kita yakin ia dapat memberi nafas baru kepada pasukan ini. T-Team mengharapkan kedudukan lebih baik dalam Liga Super musim ini dan dapat melangkah ke Piala Malaysia," katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani kontrak dengan pemain itu, hari ini.

Abdul Rahin berkata, pihaknya telah memaklumkan hasrat mengambil Muhamad Khalid sebagai pemain T-Team dan kini menunggu kelulusan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kontrak pemain itu bergantung kepada kelulusan FAM dan pihaknya bercadang menggunakan khidmat Muhamad Khalid sehingga ke penghujung musim ini, bergantung kepada penilaian dari masa ke semasa.

Sementara itu, Muhammad Khalid berharap kegemilangan kariernya sebagai pemain bola akan kembali dengan T-Team dan beliau, yang bakal menyarung jersi bernombor 28 bercita-cita membawa pasukan itu melangkah ke Piala Malaysia, musim ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain