suria

Fulham Jumpa Atletico, Episod Duka Liverpool

Paul Konchesky (kiri) meraikan kemaraan Fulham dengan rakan sepasukannya, Zoltan Gera (kanan) selepas menewaskan Hamburg, awal pagi tadi. - Foto AFP
Paul Konchesky (kiri) meraikan kemaraan Fulham dengan rakan sepasukannya, Zoltan Gera (kanan) selepas menewaskan Hamburg, awal pagi tadi. - Foto AFP
Paul Konchesky (kiri) meraikan kemaraan Fulham dengan rakan sepasukannya, Zoltan Gera (kanan) selepas menewaskan Hamburg, awal pagi tadi. - Foto AFP

TAHNIAH diucapkan kepada Fulham dan Atletico Madrid di atas kejayaan melangkah ke pusingan akhir Liga Europa yang akan berlangsung pada 12 Mei ini.

Musim ini ternyata pengalaman manis buat pengurus Roy Hodgson apabila mengemudi Fulham mencatat kemenangan terbesar dalam sejarah kelab itu sejak 131 tahun. Fulham menewaskan Hamburg 2-1 pada perlawanan separuh akhir kedua di Craven Cottage, awal pagi tadi.

Prestasi Fulham pada ketika ini patut dipuji memandangkan kelab itu nyaris tersingkir daripada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), apabila mengisi kedudukan tiga kelab tercorot sepanjang kempen musim lalu.

Namun, Diomansy Kamara menghidupkan semula peluang Fulham untuk terus beraksi dalam liga yang paling diminati penggemar bola sepak seluruh dunia apabila menjaringkan dua gol pada perlawanan penutup musim lalu.

Selepas terikat seri tanpa jaringan di Jerman pada perlawanan separuh akhir pertama, Fulham bermula cemerlang dan hampir memecah kebuntuan seawal minit kedua menerusi percubaan penyerang Bobby Zamora tetapi berjaya ditepis penjaga gol Hamburg, Frank Rost.

Zamora seakan-akan menjadi penyuntik semangat buat Fulham untuk mencatat kemenangan di tempat sendiri walaupun baru pulih daripada kecederaan di bahagian Anchilles.

Hamburg dilihat semakin menghampiri tiket ke saingan akhir apabila Mladen Petric membuka jaringan awal sekali gus meletakkan pasukan lawan di depan.

Begitupun, peluang itu hanya bertahan sehingga minit ke-69 apabila Fulham bangkit melakukan kejutan menerusi jaringan Simon Davies dan Zoltan Gera, tujuh minit kemudian.

Kejayaan Fulham gagal diikuti Liverpool yang terus dahagakan kemenangan musim ini selepas tersingkir kepada Atletico Madirid dengan agregat 2-2.

Walaupun pasukan kendalian Rafael Benitez itu ketinggalan 0-1 pada perlawanan separuh akhir pertama, aksi di tempat sendiri sedikit sebanyak menaikkan semangat pemain.

Ia berjaya dibuktikan apabila Alberto Aquilani menyamakan kedudukan agregat pada minit ke-44 sebelum Yossi Benayoun menggandakan jaringan pada minit ke-95.

Perlawanan yang diheret ke masa tambahan meranapkan impian The Reds untuk membawa pulang satu-satunya trofi yang hampir dalam genggaman musim ini, selepas Diego Forlan mengikat kedudukan agregat pada minit ke-102.

Peraturan kelebihan gol di tempat lawan ternyata membawa perkhabaran gembira buat pasukan pimpinan Quique walaupun Liverpool mencatat kemenangan 2-1.

Nasib Liverpool ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Mereka amat memerlukan perubahan drastik memandangkan peluang untuk melayakkan diri ke kempen Liga Juara-juara Eropah musim depan bergantung kepada keputusan perlawanan pencabar terdekat, Tottenham Hotspur dan Manchester City.

Kini, Fulham dan Atletico masing-masing perlu memasang percaturan terbaik menjelang pertemuan akhir di Nordbank Arena, Hamburg. Kadang kala bola sepak juga bergantung kepada nasib. Itu semua tidak penting kerana gelaran juara sudah tentu akan berpihak kepada pasukan yang bijak meminumkan kesilapan dan mampu mencipta keajaiban. Marilah kita sama-sama saksikan kemuncak pertembungan itu kelak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain