suria

Rali Perahu Layar Di Perairan BIMP-EAGA Tahun Ini

PAMPANGA (Filipina): Pemilik perahu layar dan anak kapal serta peserta utama pelancongan dari Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) akan menjayakan rali perahu layar tahun ini untuk mempromosi pelancongan berasaskan komuniti di rantau ini.

Rali bertema "Sail BIMP-EAGA: Exploring Equator Asia", perahu layar bukan sahaja disasarkan untuk pemilik dan anak kapal perahu layar, malah akan memberi manfaat kepada persatuan-pesatuan pelancongan, lokasi dan tarikan serta dan komuniti tempatn di BIMP-EAGA.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Pembangunan Ekonomi Mindanao menyebut, acara itu akan mengetengahkan peluang untuk pemegang kepentingan dalam bidang pelancongan dari sektor awam dan swasta mengetengahkan tarikan dan perkhidmatan pelancongan dan mengembalikan pendapatan hasil pelancongan terus kepada masyarakat tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana.

"Kami akan menggunakan kelebihan kapal layar untuk membawa pelawat ke destinasi dalam BIMP-EAGA," kata Allan Riches, anggota eksekutif ejen-ejen pelancongan di Brunei dan penganjur acara itu dalam satu kenyataan.

Beliau berkata dalam jangka pendek, anggota rali perahu layar sendiri akan membeli produk dan perkhidmatan berkaitan pelancongan di tempat-tempat mereka singgah.

"Dalam jangka panjang, publisiti dan kesedaran yang wujud di kalangan pemilik perahu layar, menerusi laman-laman web perahu layar dan blog, artikel dalam majalah pelancongan, akan meningkatkan jumlah perahu laar yang menyertai rali sebenar," kata Riches.

Laluan dan tempat hentian rali di Filipina akan dimajukan berdasarkan cadangan daripada majlis pelancongan tempatan yang akan mengenal pasti lokasi, tarikan, serta aktiviti lawatan yang akan dipromosi, katanya.

Rali perahu layar diterima sebagai elemen penting dalam strategi pemasaran pembangunan pelancongan bersama semasa Bengkel Perancangan Strategik BIMP-EAGA pada November 2009 di Kota Kinabalu dan hasil Persidangan Ekopelancongan Berasaskan Komuniti Lestari Majlis Perniagaan BIMP-EAGA pada Oktober-November 2008 di Manado, Indonesia.

Tarikh sebenar acara itu masih dibincangkan, dan akan dimuatkan pada www.bruneibay.net/bimp-eagarally tidak lama lagi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain