suria

Ahmad Shabery Bangga Kejayaan Mohd Azizulhasni Raih Perak Di Kejohanan Dunia

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berbangga dengan pencapaian pelumba basikal trek kebangsaan, Mohd Azizulhasni Awang yang memenangi pingat perak acara keirin di Kejohanan Dunia, yang berlangsung di Copenhagen, Denmark awal pagi tadi.

Ahmad Shabery berkata jika Mohd Azizulhasni terus berusaha lebih keras untuk meningkatkan keupayaan, hasrat memenangi pingat emas di Sukan Olimpik London 2012 akan tercapai.

"Namun pencapaian Mohd Azizulhasni itu (pingat perak) tetap merupakan sesuatu yang luar biasa berdasarkan kepada susuk tubuhnya yang kecil dan usianya. Ia seperti memenangi emas juga.

"Beliau telah menghantar sistem pesanan ringkas (sms) kepada saya dengan menyatakan mungkin bukan rezekinya lagi setelah hanya tewas sedikit sahaja, setengah tayar sahaja ke garisan penamat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan gim rakyat di Kompleks Belia Kampung Pandan petang ini.

Ahmad Shabery berkata pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu telah membuktikan bahawa beliau kini merupakan antara pelumba terunggul di dunia.

"Beliau pernah memberitahu saya di dalam tempoh dua tahun lagi kehebatan dan kekuatan tenaga pelumba Great Britain, Chris Hoy akan dapat diatasi kerana beliau memerlukan masa itu untuk membina otot-ototnya," katanya.

Pada pusingan akhir, pelumba berusia 22 tahun itu tewas kepada Hoy yang merupakan pemenang tiga pingat emas Olimpik Beijing 2008 walaupun bersaing sengit sehingga ke garisan penamat.

Kegagalan itu menyebabkan Mohd Azizulhasni sekadar berpuas hati dengan pingat perak manakala pelumba Jerman, Maximilian Levy mendapat pingat gangsa.

Seorang lagi pelumba negara Josiah Ng yang beraksi di dalam acara keirin gagal melepasi pusingan pertama apabila kayuhannya dibatalkan setelah menyebabkan lawan terjatuh.

Mohd Azizulhasni dan Josiah bagaimanapun berpeluang untuk mengharumkan nama Malaysia apabila turun beraksi pada acara pecut 200 meter yang akan berlangsung pada Ahad ini.

Pada tahun lepas, Malaysia memenangi satu pingat perak dan gangsa melalui Mohd Azizulhasni (pecut 200 meter) dan Mohd Rizal Tisin di dalam acara ujian masa satu kilometer. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain