suria

Sukan Asia: Hanya Enam Atlet Karate Dipilih

KUALA LUMPUR: Hanya enam atlet terbaik tiga lelaki dan tiga wanita akan dipilih bagi menggalas cabaran Malaysia dalam acara karate Sukan Asia di Guangzhou, China pada 12 hingga 27 November nanti.

Jurulatih negara P. Arivalagan berkata dengan dibarisi atlet terbaik, Malaysia berpeluang cerah untuk mengakhiri kemarau pingat emas lapan tahun dalam acara itu, dengan meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas pada temasya sukan empat tahun sekali itu.

"Walaupun kesemua lapan atlet kita berbakat, saya hanya akan memilih tiga orang atlet lelaki dan tiga lagi wanita untuk menyahut cabaran pada Sukan Asia, Guangzhou nanti," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memperoleh pingat emas bagi acara karate Sukan Asia ialah pada 2002 di Busan, dengan pingat emas dimenangi oleh R. Puvaneswaran dalam acara kumite lelaki 55 kg dan S. Premila dalam acara kumite wanita 60 kg.

Atlet-atlet sedia ada akan diberi pendedahan latihan persiapan selama dua minggu di Jepun pada April depan sebelum senarai barisan atlet Malaysia untuk ke temasya sukan itu diputuskan pada Julai ini, katanya.

Arivalagan juga berkata beliau akan menjadikan kejohanan Piala Lee Hettet pada 19 hingga 20 Jun dan Piala Feminin Antarabangsa pada 26 hingga 27 Jun yang akan berlangsung di Perancis sebagai kayu pengukur untuk menilai kemampuan anak buahnya.

Ketika Sukan Asia, Doha 2006 skuad karate negara hanya berjaya memperoleh empat pingat perak dan tiga pingat gangsa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain