suria

KBS Ambil Alih Urusan Perjalanan Dan Pemakanan Daripada BAM

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini mengambil alih urusan perjalanan dan pemakanan para pemain badminton negara daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas mendapati ada pihak yang mendapat keuntungan daripada urusan tersebut.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata berkuat kuasa serta merta, urusan perjalanan dan pemakanan pemain badminton kini dikendalikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan tujuan menjaga kebajikan atlet tersebut.

"Keputusan ini berkuatkuasa serta merta selepas saya mendapat pandangan pemain semasa bertemu mereka pada sesi latihan dua minggu lepas di Stadium Bukit Kiara," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata BAM sebelum ini mendapat keistimewaan kerana MS Nmemberi kebenaran kepada persatuan tersebut untuk mengurus sendiri urusan perjalanan dan pemakanan pemain-pemain mereka.

Bagi persatuan lain, kedua-dua urusan tersebut dikendalikan oleh MSN, katanya.

Ahmad Shabery berkata semasa bertemu pemain-pemain tersebut, beliau diberitahu makanan yang dihidangkan sedap kerana kehadiran Menteri.

"Mungkin ada pihak seperti kontraktor makanan cuba mendapat keuntungan lebih dengan mengurangkan kos sebenar makanan yang dihidangkan kepada atlet tersebut berbanding bajet yang diberikan," katanya.

Beliau berkata bagi mengatasi masalah tersebut, MSN mungkin menyediakan tukang masaknya sendiri bagi menjaga pemakanan pemain-pemain badminton negara sama ada di dalam atau di luar negara.

"Begitu juga dengan aspek perjalanan kerana saya diberitahu BAM cuba untuk menjimatkan kos dengan menggunakan penerbangan yang paling murah dan adakalanya penerbangan yang bersambung-sambung sehingga meletihkan pemain," katanya.

Beliau berkata walaupun BAM mendakwa persatuan itu berbuat demikian untuk menjimatkan kos tetapi segala perbelanjaan tersebut akhirnya dituntut kembali daripada MSN.

Ahmad Shabery berkata berkuatkuasa serta merta juga, atlet yang terlibat dalam program 'Road to London 2012' tidak lagi dihadkan bajet bagi pemakananan mereka.

"Jika sebelum ini, ada had bagi bajet makanan bagi atlet program tersebut, kini mereka boleh mendapat pemakanan yang lebih, sesuai dengan kehendak sukan yang diceburi dan berdasarkan pandangan pakar pemakanan," katanya.

'Road to London 2012' ialah satu program yang diatur bagi mencari emas pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik melalui temasya di London pada 2012.

Ketika diminta mengulas mengenai krisis dalaman BAM sehingga setiausaha kehormatnya, Ganga Rao digantung tugas pada dua hari lepas, Ahmad Shabery berkata masalah tersebut merupakan isu dalaman persatuan.

"Mungkin BAM sedang mengemaskinikan urusan pentadbiran dan kita di luar persatuan mungkin tidak memahaminya," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan BAM supaya menyelesaikan segera segala masalah dalaman tersebut supaya tidak menjejaskan misi pemain badminton negara untuk meraih Piala Thomas yang akan berlangsung di Stadium Putra, di sini, dari 9-16 Mei ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Jadual Liga Inggeris

Artikel Lain