suria

Juara Seluruh England Suntik Semangat Chong Wei Hadapi Piala Thomas

SEPANG: Kejayaan meraih kejuaraan dalam acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Seluruh England, jelas menyuntik semangat baru kepada pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dalam menghadapi beberapa kejohanan besar selepas ini.

Chong Wei, 28, tidak akan mempertahankan gelaran Terbuka Switzerland yang bermula esok, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada latihan persediaan bagi menghadapi Piala Thomas yang akan berlangsung dari 9 hingga 16 Mei ini di Stadium Putra di Bukit Jalil.

"Selepas All England, saya tidak akan menyertai Terbuka Switzerland, sebaliknya saya akan memberi tumpuan kepada latihan persediaan bagi menghadapi Kejohanan Piala Thomas.

"Walaupun Piala Thomas bukan semata-mata bergantung kepada saya seorang, saya berharap kemenangan saya dalam Seluruh England ini akan turut membakar semangat rakan-rakan sepasukan," katanya pada persidangan akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari Selasa.

Beliau yang pulang ke tanah air hari ini diberikan sambutan "Wira Negara" selepas muncul juara Kejohanan Seluruh England.

"Walaupun pada saingan di Seluruh England, Khoo (Ken Kiat) dan Tan (Boon Heong) tidak beraksi dengan baik tetapi saya berharap dalam masa dua bulan sebelum kejohanan kami semua akan dapat bekerjasama.

"Bermain di gelanggang sendiri adalah satu kelebihan tetapi saya akui tekanan sememangnya besar. Mungkin perlu gunakan tekanan ini memberi saingan yang lebih baik lagi dan tidak cepat berputus asa. Apa yang paling penting, kesemua kami perlu bebas daripada sebarang kecederaan," kata Chong Wei.

Menurut beliau, adalah menjadi sasaran peribadi beliau untuk membantu pasukan Malaysia meraih kejuaraan Piala Thomas.

Malaysia kali terakhir menenangi Piala Thomas ialah pada 1992 ketika menjadi tuan rumah.

Pada awal pagi Isnin lepas (waktu Malaysia), Chong Wei berjaya menjuarai acara perseorangan lelaki edisi ke-100 Kejohanan Seluruh England selepas menewaskan bintang baru Jepun, Kenichi Tago, 21-19 dan 21-19.

Secara langsung menjadikan beliau pemain badminton Malaysia kelima selepas Muhammad Hafiz Hashim, Wong Peng Soon, Datuk Eddy Choong dan Tan Aik Huang merangkul kejuaraan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain