suria

Tujuh Atlet Rebut Gelaran Olahragawan Dan Olahragawati Masum 2009

KUALA LUMPUR: Tujuh atlet kebangsaan merupakan calon pilihan untuk merebut gelaran Olahragawan dan Olahragawati bagi Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2009 pada majlis yang akan diadakan di Dewan 2020 Kangar, Perlis pada 10 April depan.

Calon olahragawan yang disenarai pendek ialah Ahmad Faiz Mohamad Noor (kriket-Universiti Kebangsaan Malaysia), Lee Yang (wushu-Universiti Putra Malaysia (UPM)), Mohamad Nuzul Azwan Ahmad Temizi (petanque-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) dan Muhamad Farkhan Mohd Haron (tinju-Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM)).

Calon olahragawati pula terdiri daripada Nurhidayah Abdul Latip (memanah-UiTM), S.Aruna (bola jaring-Universiti Teknologi Malaysia) dan Leong Mun Yee (terjun-UPM).

Olahragawan dan Olahragawati Masum 2009 akan menerima wang tunai sebanyak RM3,000 setiap seorang berserta hadiah berbentuk trofi dan sijil.

Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail serta Pro Canselor universiti itu Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan majlis itu.

UNiMAP merupakan tuan rumah bagi majlis anugerah sukan Masum tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masum 1, Prof Madya Kasim Md Mansur berkata pemilihan calon bagi anugerah ini adalah berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan di mana salah satunya ialah atlet mesti memperolehi pingat sekurang-kurangnya dalam Sukan Universiti Asean.

"(Selain) mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan, mewakili Malaysia dalam apa-apa acara sukan serta mempunyai sifat-sifat kepimpinan," katanya pada sidang media di sini hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain