suria

Duti Import Golf Bugi Golf Dimansuhkan

KUALA LUMPUR: Kelab-kelab golf hari ini diberikan hadiah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau mengumumkan bahawa duti import bugi golf dimansuhkan serta merta bagi memacu perkembangan industri golf di negara ini.

Perdana Menteri mengumumkan berita baik ini untuk kira-kira 200 padang golf di negara ini apabila beliau menyampaikan hadiah-hadiah Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank kepada pemenang, pemain remaja dari Korea Selatan berusia 18 tahun, Noh Seung-yul.

"Saya dimaklumkan bahawa salah satu cara yang kita boleh bantu dalam pembangunan kualiti padang golf di negara ini serta bagi memastikan kelab golf menyediakan kemudahan lebih baik ialah dengan memberikan pertimbangan dengan memansuhkan duti import bugi di negara ini.

"Jadi, pada majlis ini, sebagai Menteri Kewangan, saya ingin mengumumkan pemansuhan serta merta duti import semua bugi golf di negara ini," kata beliau.

Beliau berkata kerajaan akan terus menyokong perkembangan industri golf di Malaysia kerana negara ini masih menjadi destinasi yang diminati untuk sukan ini.

Tahun lepas, negara menerima 350,000 pelawat yang datang ke Malaysia di mana golf merupakan sukan sepanjang tahun. Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada Noh yang telah menjadi tumpuan dengan mengatasi pencabar yang lebih berumur.

Pemain Korea Selatan itu akan menyambut hari lahirnya ke-19 pada 20 Mei ini.

"Jadi, kita ada pemenang yang sangat muda dan adalah baik bahawa kita ada pemenang muda. Pada usia begitu bukan menjadi penghalang untuk menjadi juara dan ia hendaklah menjadi sumber inspirasi kepada semua rakyat Malaysia yang berhasrat untuk menjadi juara," kata beliau.

Najib gembira bahawa kejohanan itu dapat menarik 1.2 bilion penonton di seluruh dunia.

Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA) Datuk Robin Loh mengalu-ngalukan dengan gembiranya pemansuhan duti import itu yang katanya ialah 50 peratus.

"Kita telah mohon pemansuhan ini sejak April tahun lepas. Padang golf 18-lubang pada lazimnya memerlukan 70 hingga 80 bugi dan pemansuhan ini adalah penjimatan besar," kata beliau.

Sebagai contoh, sebuah bugi yang diimport yang berharga RM20,000 akan berharga RM35,000 dengan duti import dan cukai lain, tambah beliau. BERNAMA

Artikel Lain