suria

Hanya Dua Pemain Malaysia Layak Teruskan Cabaran Dalam MMO 2010

KUALA LUMPUR: Hanya dua pemain golf Malaysia melayakkan diri meneruskan cabaran masing-masing dalam kejohanan golf Terbuka Malaysia Maybank (MMO) 2010, setelah 15 pemain tempatan dan empat pemain amatur lain, gagal mara ke pusingan seterusnya setelah berakhir pusingan kedua hari ini.

Berikutan itu, Malaysia menyandarkan harapannya untuk meraih kejayaan dalam kejohanan yang menawarkan hadiah AS$2 juta (RM7 juta) ini di bahu pemain nombor satu negara Danny Chia dan M.Sasidaran.

Setakat ini, mereka memungut mata dua bawah par 142 untuk menduduki tangga ke-25.

Pemain amatur Malaysia Hisyam Majid hampir melayakkan diri apabila meraih mata bagi tempoh dua hari berjumlah dua atas par 146 setelah mempamerkan kecemerlangan tiga bawah 69 sebagai tambahan kepada pencapaiannya dalam pusingan pembukaan sebanyak lima atas 77.

Penganjur kejohanan - Persatuan Golf Malaysia, Asian Tour dan European Tour - menetapkan 145 sebagai paras kelayakan dan ini menyebabkan hanya 79 pemain dapat meneruskan cabaran mereka pada pusingan ketiga lewat hari ini. Apabila kilat dan ribut menyebabkan permainan terpaksa dihentikan selama lebih dua jam petang semalam, 58 pemain gagal menyelesaikan pusingan kedua dan terpaksa meneruskan cabaran bagi lubang selebihnya pagi ini.

Setelah berakhir pusingan kedua, pemain profesional dari Wales Rhys Davies menduduki tempat teratas dengan pungutan dua hari berjumlah 10 bawah par 134.

"Saya tak kesah dengan penanguhan itu. Ia menawarkan peluang kepada saya untuk memberi fokus terhadap benda lain dalam tempoh singkat itu. Ini perkara biasa dalam permainan. Apabila seseorang itu berada di tempat teratas, penangguhan itu akan menjadi suatu bentuk rangsangan dan sebab itulah, penangguhan itu tidak banyak menjejaskan saya," kata Davies, yang telah dua kali menjuarai Challenge Tour.

Mengekori Davies dengan perbezaan dua pukulan ialah Alejandro Canizares dari Sepanyol, manakala enam pemain lain - Angelo Que dari Filipina, Soren Hansen (Denmark), K.J.Choi (Korea Selatan), Ignacio Garrido (Sepanyol) dan Thongchai Jaidee serta Kiradech Aphibarnrat (Thailand) - berkongsi tempat ketiga dengan mata tujuh bawah par 137.

Pusingan ketiga kejohanan ini bermula pada pukul 11 pagi tadi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain