suria

Asidaran, Danny Berkongsi Tempat ke-60 Golf Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemin golf profesional tempatan M. Sasidaran dan Danny Chia menjadi pemain terbaik Malaysia pada kejohanan Terbuka Malaysia Maybank tahun ini walaupun ketinggalan jauh di belakang pendahulu.

Sasidaran dan Danny berkongsi kedudukan ke-60 selepas melakukan 291 pukulan, tiga di atas par, dalam tempoh empat hari bersama tiga lagi pemain.

Oleh itu, kedua-dua mereka menerima wang AS$5,200 (RM17,475) setiap seorang.

"Saya bermula dengan par, selepas itu melakukan tiga pukulan untuk lubang kedua. Saya tidak bermula dengan baik tetapi dapat melakukan birdie pada lubang ke-17. Saya ada peluang yang baik dengan tiga lubang terakhir tetapi gagal menyempurnakannya.

"Saya berusaha beraksi baik tetapi malangnya saya tidak dapat perbaiki pukulan saya. Saya kena berlatih lagi.

Bagaimanapun, ini permulaan baik dan saya menunggu kejohanan akan datang," kata Sasidaran, yang akhirnya layak beraksi dalam kejohanan tahun ini selepas gagal melakukannya dalam empat edisi terdahulu.

Sementara itu, Danny masih bergelut dengan pukulannya walaupun melakukannya 71 pukulan, satu di bawah par, dalam pusingan terakhir hari ini.

"Walaupun pukulan teruk sepanjang minggu, saya tak boleh cakap banyak tentang permainan saya. Saya cuba yang terbaik tetapi padang golf ini sangat mencabar dan kamu kena lakukan dengan sempurna terutama dengan kedudukan pin yang sukar," katanya.

Sejak diperkenalkan pada 1962, tiada pemain Malaysia yang pernah memenangi kejohanan ini dan paling hampir adalah P. Gunasegaran pada 1994 apabila beliau tewas dalam saingan penentuan lapan lubang kepada pemain Sweden Joakim Haeggmann. -BERNAMA

Artikel Lain