suria

Anuar: Terengganu Mampu Tubuh Pasukan Bersaing Di LTdL

MERSING: Penubuhan pasukan Terengganu, yang digalas sepenuhnya pelumba berbasikal anak kelahiran negeri itu, untuk beraksi pada perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) adalah tidak mustahil kerana negeri itu banyak melahirkan pelumba berbakat kata pelumba sensasi Malaysia, Anuar Manan.

Anak kelahiran Kuala Ibai, Kuala Terengganu yang mewakili pasukan Geumsan Ginseng Asia itu menyifatkan cadangan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said untuk menubuhkan sebuah pasukan dari negeri itu bagi bersaing di LTdL tahun depan adalah bertepatan.

Pada LTdL tahun ini sahaja, lima daripada enam pelumba kebangsaan berasal dari Terengganu manakala tiga lagi mewakili pasukan luar negara, katanya kepada pemberita selepas tamat peringkat ketiga perlumbaan LTdL, di sini hari ini.

Lima pelumba kebangsaan kelahiran Terengganu ialah Amir Mustafa Rusli, Shahrul Mat Amin, Ahmad Fallanie Ali, Mohd Zamri Salleh dan Mohd Nur Rizuan Zainal manakala seorang lagi Mohd Akmal Amrun berasal dari Kuala Lumpur.

Selain Anuar yang mewakili pasukan dari Korea Selatan (Geumsan Ginseng Asia), pelumba kelahiran Terengganu yang beraksi dengan pasukan luar negara adalah Ahmad Haidar Anuawar (Trek Marco Polo dari Taiwan) dan Adiq Husainie Othman (Drapac Porsche Cycling dari Australia).

Anuar berkata beliau tidak keberatan untuk mewakili pasukan Terengganu tetapi penyertaannya akan bergantung kepada kemampuan pasukan itu untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.

Anuar hari ini menceriakan peminat tempatan dengan kejayaannya mengekalkan jersi hijau (raja pecut) dan biru selaku pelumba terbaik Asia untuk tiga peringkat berturut-turut pada LTdL tahun ini.

Cadangan penubuhan pasukan itu disuarakan oleh Ahmad ketika mengadakan perjumpaan dengan pelumba kelahiran Terengganu ketika permulaan peringkat kedua LTdL di Dataran Syahbandar di Kuala Terengganu semalam. - BERNAMA

Artikel Lain