suria

Semua Jawatan PBNS Dimenangi Tanpa Bertanding

SEREMBAN: Kesemua jawatan utama dalam Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dimenangi tanpa bertanding ketika pemilihan ahli majlis persatuan itu diadakan dalam mesyuarat agung tahunan PBNS ke-79 di sini malam tadi.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan mengekalkan jawatan Presiden manakala Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan pula mengambil alih jawatan Timbalan Presiden daripada bekas Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Norzam Mohd Nor yang tidak mempertahankan jawatan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri Datuk Ismail Lasim dan Pegawai Kewangan negeri Datuk Ab. Radzak Ab. Rahman masing-masing mengekalkan jawatan Naib Presiden.

Lapan ahli gabungan yang menang pada pengundian memilih ahli majlis PBNS ialah Kelab Sukan Majlis Perbandaran Seremban, Kelab Sukan Polis Daerah Seremban, Persatuan Bolasepak Melayu Negeri Sembilan, Kelab Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan, Kelab Sukan Wan Mei, Kelab Sukan Yayasan Negeri Sembilan, Kelab Sukan Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan dan Kelab Bolasepak Jempol Dreams Bahau.

Pemilihan ahli majlis PBNS itu ialah bagi tempoh 2010-2011.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh Ismail yang mewakili Menteri Besar yang kini berada di luar negara kerana tugas rasmi.

Ketika berucap, Ismail berkata kejayaan skuad Rusa merangkul Piala Malaysia 2009 menjadi rangsangan dan dorongan untuk skuad itu lebih cemerlang pada tahun ini.

Katanya kejayaan itu bukanlah sesuatu yang mudah tetapi atas daya usaha semua pihak termasuk Presiden PBNS sendiri, pengurusan, jurulatih, pemain dan para penyokong.

"Komitmen Presiden memberi suntikan moral kepada pemain skuad Rusa supaya beraksi lebih cemerlang lagi musim ini. Persatuan kita berjalan dengan baik dan tiada banyak masalah yang dihadapi," katanya.

Ismail juga menyeru supaya persatuan bola sepak daerah memainkan peranan lebih aktif mengadakan program pembangunan peringkat belia untuk mencungkil bakat baru, selain menganjurkan pertandingan peringkat daerah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Manchester United 3, West Ham 0

Artikel Berikut

Artikel Lain