suria

Ashley Cole Tak Puas Hati; Kemungkinan Minta Dipindahkan

LONDON: Pemain kontroversi Chelsea, Ashley Cole tidak akan berpeluk tubuh dan mendiamkan diri sekiranya dia dikenakan tindakan disiplin ekoran tindak-tanduknya di luar padang.

Pemain pertahanan itu percaya dia telah menjadi mangsa dan dilayan secara tidak adil apabila Chelsea mengarahkannya menghadiri satu pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Ron Gourlay untuk membincangkan isu berkaitan skandal seksnya ketika pasukan Chelsea sedang dalam lawatan ke Amerika Syarikat sebelum musim baru bermula.

Malah kini Cole dikatakan sedang menimbang untuk meninggalkan Stamford Bridge.

Jika dihadapankan ke lembaga disiplin ada kemungkinan Cole akan berhadapan dengan risiko diletakkan dalam senarai perpindahan walaupun ramai yang melihat hukuman yang paling hampir yang akan dikenakan ialah denda memotong gaji mingguannya.

Cole khabarnya merasa tidak puashati kerana kapten pasukan John Terry yang turut berhadapan dengan skandal yang sama dilepaskan dari sebarang hukuman malah diberikan cuti ehsan untuk membolehkannya memujuk isterinya yang membawa diri ke Dubai bersama dua orang anak kembarnya.

Terry bukan sahaja telah menerima sokongan moral termasuk daripada pengurus pasukan Carlo Ancelotti tetapi dibenarkan untuk tidak bermain dalam perlawanan pusingan kelima Piala FA menentang Cardiff City.

Pengurusan Chelsea pula beranggapan isu Cole berlainan dengan Terry kerana Cole didakwa 'menyeludup masuk' wanita ke biliknya ketika pasukan mereka sedang dalam siri jelajah ke Amerika Utara musim panas lalu.

Chelsea dikatakan memanggil Cole untuk mengadap ketua pegawai eksekutif kelab atas arahan pemilik kelab, Roman Abramovich – yang enggan berkompromi dengan pemain yang melakukan sesuatu yang bercanggahan dengan peraturan ketika pasukan sedang dalam urusan rasmi.

Sedangkan dalam kes John Terry, isu yang melibatkan dia berlaku di luar urusan rasmi kelab.

Jika Cole mendesak supaya dia diletakkan dalam senarai perpindahan, ini akan membuka semula minat daripada Real Madrid, Barcelona dan juga Inter Mila - tiga buah kelab yang sentiasa mengikuti perkembangan Cole dari dekat.

Cole menyertai Chelsea pada tahun 2006 dari Arsenal selepas merasakan kelab lamanya tidak begitu menghargai bakat semulajadi yang dimilikinya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain