suria

Impian Besar Le Tua Pada LTdL 2010

SHAH ALAM: Pasukan benua pertama negara, Le Tua, memasang impian untuk meraih kejayaan lebih besar pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) bermula Isnin ini.

Selain berhasrat mempertahankan gelaran pelumba terbaik Asia, Le Tua kini mensasarkan untuk muncul juara individu keseluruhan dan cuba memenangi salah satu daripada empat saingan peringkat terawal yang dipertandingkan.

"Bagi merealisasikan impian itu, Le Tua membariskan tiga pelumba Sepanyol, seorang dari Australia dan dua pelumba tempatan iaitu Ng Yong Li dan Mohd Hafiz Rozli," kata pengurus pasukan, Shukor Yassin, pada majlis penajaan pasukan itu di Kelab Shah Alam di sini hari ini.

Katanya sasaran memburu juara individu keseluruhan disandarkan kepada pelumba Sepanyol, Alexis Rodrigues Hernandez, 33, yang mempunyai pengalaman bersama beberapa pasukan profesional di Eropah.

Harapan besar diletakkan di bahu Yong Li untuk melakukan kayuhan terbaik bagi mempertahankan gelaran pelumba terbaik Asia, yang dimenangi oleh bekas pelumba pasukan itu, Tonton Susanto, yang akan mewakili pasukan Iran, Azad University, tahun ini.

Shukor berkata Yong Li diharapkan dapat menggunakan kemahiran yang dimiliki empat pelumba luar itu yang merupakan pakar pendakian untuk merealisasikan sasaran itu terutamanya apabila melibatkan peringkat keenam di Genting Highlands.

Beliau turut meramalkan perlumbaan pada tahun ini tetap mencabar walaupun hanya satu pasukan yang berstatus Pro Tour yang mengambil bahagian.

"Keupayaan pasukan dari benua Asia seperti dari Iran, China dan Jepun tidak seharusnya diketepikan kerana mereka juga merupakan pasukan yang sememangnya terbukti kuat," katanya.

Sementara itu, Yong Li, yang fasih berbahasa Sepanyol, berkata beliau akan memberikan aksi yang terbaik dengan kerjasama rakan sepasukan.

Perlumbaan edisi ke-15 LTdL mulai 1 hingga 7 Mac ini menampilkan persaingan 20 pasukan dengan tujuh peringkat dipertandingkan bermula di Kota Baharu, Kelantan dan berakhir di Kuala Lumpur.

Senarai pelumba Le Tua: Alexis Rodrigues Hernandez (Sepanyol), Edgar Nohales Nieto (Sepanyol), Raul Castano Yuste (Sepanyol), Mark O'Brien (Australia), Ng Yong Li (Malaysia), Mohd Hafiz Rozli (Malaysia). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain