suria

Chong Wei, Nicol David Dahului Senarai Calon Anugerah SAM 2009

PETALING JAYA: Dua pemain dunia yang bergelar Datuk dan sama-sama berasal dari Pulau Pinang, Lee Chong Wei dan Nicol Ann David, menjadi pilihan popular untuk mengungguli Anugerah Olahragawan dan Olahragawati 2009 Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 100PLUS, Sabtu ini.

Kedua-dua jaguh badminton dan skuasy itu, yang pernah memenangi anugerah berprestij itu, adalah antara enam calon yang disenarai pendekkan oleh SAM bagi merebut anugerah berkenaan kali ini.

Calon lain yang bakal memberi saingan adalah pelumba basikal negara, yang baru saja dinobatkan sebagai juara dunia, Mohd Azizul Hasni Awang, lima pemenang pingat emas Sukan SEA perenang Daniel Bego, pasangan atlet renang Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee dan pasukan badminton wanita yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA Laos.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi tetamu kehormat pada majlis penyampaian anugerah itu di sebuah hotel terkemuka di sini.

"Buat julung kalinya, majlis penyampaian anugerah ini akan diadakan pada sebelah pagi. Kami gembira kerana Muhyiddin bersetuju menyerikan majlis ini," kata presiden SAM Ahmad Khawari Isa kepada pemberita di sini hari ini.

Khawari berkata proses pemilihan pemenang kali ini unik kerana ia semata-mata ditentukan melalui undi anggota SAM dari seluruh negara.

"Kami menjangka sesuatu di luar dugaan mungkin berlaku kerana keputusan muktamad terletak di tangan anggota, bukan panel hakim seperti sebelum ini," katanya.

Sementara itu, pengurus hal ehwal korporat pengeluar minuman isotonik 100PLUS, F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Datuk Kamal Harun, berkata majlis berkenaan juga bertujuan memberi pengiktirafan terhadap usaha gigih para atlet handalan negara dalam memburu kejayaan.

Pemenang anugerah ini akan menerima hadiah RM10,000 dan sebuah trofi.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mencapai kejayaan cemerlang, wartawan sukan juga berpeluang memenangi hadiah wang berjumlah RM40,000 melalui Anugerah Media SAM-Kementerian Belia dan Sukan(KBS).

Anugerah itu terbahagi kepada enam kategori Laporan Berita Sukan Terbaik (percetakan), Ulasan (percetakan), Laporan Berita (elektronik), Ulasan (elektronik), Laporan Khas (percetakaan dan elektronik) dan Fotografi.

Pemenang setiap kategori akan menerima hadiah RM3,000 dan trofi serta berpeluang dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan yang akan menerima hadiah RM7,000 serta sebuah trofi. - BERNAMA

Artikel Lain