suria

Skuad Karate Ubah Latihan Untuk Raih Emas Di Guangzhou

KUALA LUMPUR: Setelah kemarau pingat emas selama lapan tahun sejak Sukan Asia Busan 2002, skuad karate negara mengubah kitaran latihan dari setahun kepada dua tahun bagi mencerahkan peluang meraih pingat emas pada Sukan Asia di Guangzhou, China dari 12 hingga 27 November depan.

Dalam Sukan Asia Busan pingat emas dimenangi oleh R. Puvaneswaran dalam acara kumite lelaki 55 kg dan S. Premila dalam acara kumite wanita 60 kg manakala pada edisi di Doha, 2006, Malaysia hanya meraih empat perak dan tiga gangsa.

Ketua jurulatih kebangsaan, P. Arivalagan berkata, beliau mengubah kitaran setahun kepada dua tahun dalam usaha memantapkan prestasi anak buahnya bagi mengatasi kutipan dua emas di Busan.

"Dalam kitaran dua tahun ini, saya membahagikan kepada tiga fasa iaitu, pembangunan am, persediaan spesifik dan pertandingan.

"Untuk tahun ini, kita akan menfokuskan kepada fasa pertandingan dan sekiranya kitaran ini berjaya, kita akan meneruskan konsep ini," katanya di sini, hari ini.

Skuad negara katanya, akan menyertai beberapa pertandingan antarabangsa pada masa terdekat ini bagi memastikan mereka mendapat pengalaman secukupnya ketika di Guangzhou.

"Kita akan menyertai Kejohanan Piala Silent Knight di Wisma OCM anjuran Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) di mana 10 negara dijangka menyertai pertandingan ini seperti Kuwait, Indonesia, Singapura, Australia dan Vietnam," katanya.

Skuad negara kini terdiri daripada 11 atlet elit dan juga 19 atlet pelapis di bawah bimbingannya, katanya. Arivalagan berkata Malaysia akan menghantar lapan atlet iaitu empat lelaki dan empat perempuan ke Sukan Asia Guangzhou.

Sebagai persediaan meraih lebih banyak pingat emas di Guangzhou, Makaf telah menyenaraikan beberapa kejohanan antarabangsa sebagi pentas untuk memilih atlet yang akan ke Guangzhou.

Antara kejohanan berkenaan adalah Kejohanan Karate Senior Kebangsaan ke-30 di Sabah (1-2 Mei), KOI World Cup Championships di Kuala Lumpur (5-11 Julai) dan World Karate Championships di Serbia (12-18 Oktober). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain