suria

BWF Fikir Penyertaan Wajib Pada Pusingan Akhir Siri Super Masters

JOHOR BAHARU: Berikutan penarikan diri beberapa pemain ternama pada pusingan akhir Siri Super Masters BWF di sini, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sedang mengkaji cara untuk mencegah insiden seperti itu berulang pada kejohanan akan datang.

Kejohanan tersebut, yang menawarkan hadiah US$500,000 (RM1.69 juta), sudah pun hilang keceriaannya dengan ketiadaan juara dunia Lin Dan, pemain wanita nombor satu dunia Wang Yihan, juara dunia beregu lelaki Cai YunFu Haifeng selepas China memutuskan untuk menghantar pemain terbaiknya ke Sukan Asia Timur di Hong Kong mulai Sabtu ini.

Turut tidak hadir pada kejohanan di sini mulai Rabu ini ialah pemain Sony Dwi Kuncoro dan beregu emas Olimpik Beijing, Hendra Setiawan-Markis Kido, dari Indonesia yang lebih mengutamakan Sukan SEA Laos bermulai 9 Disember ini.

Adalah difahamkan BWF sedang meneliti beberapa cadangan yang dikemukakan oleh rakan pemasarannya, Octagon Asia Ltd, bagi menangani dan jika boleh mengatasi masalah itu pada masa depan.

Antara cadangan oleh syarikat berpangkalan di Beijing itu ialah mengenakan hukuman denda yang berat kepada pemain yang menarik diri kecuali atas alasan perubatan.

Mengikut peraturan BWF yang sedia ada, pemain yang berundur hanya dikenakan denda sebanyak US$250 (RM848.12).

"Penyertaan wajib adalah kunci, jika sebaliknya anda terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk bayar denda. Itulah asas dalam cadangan yang dikemukakan," kata sumber BWF.

Katanya insiden penarikan diri pemain adalah mungkin kerana tarikh kejohanan ini tidak sesuai pada waktu ini berikutan menjelangnya Sukan SEA dan juga Sukan Asia Timur, iaitu dua temasya sukan terbesar di rantau ini.

"Saya pasti jika dua temasya sukan terbesar tidak diadakan pada waktu ini, mungkin keadaan pada siri super Masters ini berlainan. Mungkin kita perlu melihat tarikh yang lebih sesuai bagi kejohanan ini pada masa depan," kata sumber itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Juara Wanita Dunia Terkeluar

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain