suria

KAFA Harap Kerajaan Negeri Bantu Keluarkan Surat Jaminan Annuar

KOTA BAHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) masih mengharapkan kerajaan negeri mengeluarkan surat akuan sebagai jaminan membolehkan pasukan Kelantan beraksi pada Liga Malaysia 2010 sebagaimana disyaratkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata selain wang deposit sebanyak RM2.5 juta setiap pasukan, FAM juga menerima surat akuan dari kerajaan negeri sebagai jaminan kepada pasukan itu menyertai kejohanan akan datang.

"Kita telah hantar surat kepada Menteri Besar menyatakan perkara itu, memaklumkan KAFA perlu sokongan kerajaan negeri sebagaimana ditetapkan oleh FAM," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra aidiladha di sini, hari ini.

Katanya KAFA tidak mempunyai wang yang cukup bagi membiayai kos yang tinggi dikenakan oleh FAM sekiranya pasukan Kelantan mahu bermain bagi musim 2010.

"Untuk itu kita minta kerajaan negeri bantu kita mengeluarkan surat jaminan kepada pasukan Kelantan bagi membolehkan pasukan ini didaftar selewatlewat 48 jam lagi," katanya.

KAFA akan menunggu sehingga esok sama ada kerajaan negeri membantu atau sebaliknya kerana sebagai pasukan yang berjaya ke perlawanan akhir Piala Malaysia barubaru ini, adalah mustahil bagi Kelantan menarik diri pada musim baru nanti.

"Kalau kerajan negeri tidak bagi apa boleh buat, saya kena usaha juga sama ada menjamin diri saya sendiri atau syarikat milik saya," katanya.

"Saya tidak mahu politikkan isu sukan ini, ini hak rakyat Kelantan, kalau Menteri Besar tidak mahu beri apa boleh buat, kita kena terima juga, kerana ini tanggungjawab kita," katanya. BERNAMA