suria

Atlet Perlu Dapatkan Preskripsi Ubat Dari ISN Kata Zolkples

PUTRAJAYA: Atlet yang bakal menggalas cabaran negara di Sukan SEA ke-25 di Laos dari 9 hingga 19 Disember ini diminta merujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN) berkaitan ubat-ubatan atau vitamin tambahan bagi mengelakkan terkandas dalam saringan ujian dadah pada temasya itu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong berkata adalah menjadi tanggungjawab atlet sendiri untuk mendisiplinkan diri kerana kecuaian boleh mendatangkan mudarat kepada mereka.

"Apa sahaja yang berkaitan dengan ubat, vitamin tambahan dan sebagainya mesti dirujuk kepada ISN terlebih dahulu sebelum mengambilnya. Jangan pandai-pandai hendak ambil tongkat ali, minyak gamat atau kacip fatimah.

"Jika tertangkap (menggunakan dadah terlarang) semasa di Sukan SEA, lagi memalukan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Atlet Fasa Akhir ke Sukan SEA Laos di IOI Palm Garden Hotel, di sini hari ini.

Menurutnya peringatan dan didikan mengenai kesalahan doping serta ujian saringan secara rawak sentiasa dilakukan terhadap semua atlet. Dengan tempoh hanya tinggal lebih kurang seminggu lagi menjelang Sukan SEA Laos, 98 atlet lelaki, 82 wanita dan 41 pegawai melapor diri untuk menyertai Perhimpunan Atlet Fasa Akhir selama lima hari bermula hari ini.

Bagaimanapun jumlah itu tidak melibatkan atlet-atlet dari acara sukan bola sepak (lelaki dan wanita), judo, taekwondo dan sepak takraw lelaki.

"Perhimpunan ini bertujuan membentuk semangat sepasukan di kalangan semua atlet. Selain itu atlet perlu didedahkan kepada suasana yang bakal mereka hadapi di Laos nanti.

"Kami mahu semua atlet bersiap sedia untuk hadapi sebarang keadaan, jika di sini ada kelengkapan latihan dan penginapan yang baik, mereka tidak seharusnya mengharapkan keadaan yang sama di sana nanti," kata Zolkples.

Kontinjen negara hanya mensasarkan kutipan 30 hingga 35 pingat emas menerusi 21 acara sukan yang disertai.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara akuatik (renang dan terjun), taekwondo, memanah, olahraga, badminton, snuker & billiard, tinju, berbasikal, bola sepak, golf, judo, karate, silat, petanque, sepak takraw, menembak, ping-pong, tenis, bola tampar, angkat berat dan wusyu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Juara Wanita Dunia Terkeluar

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain