suria

17 Pasukan Sertai Acara Sukan Lasak

IPOH: Seramai 17 pasukan termasuk Malaysia akan menyertai acara sukan lasak Pengembaraan Eko Antarabangsa Perak Amanjaya 2009, pertama kali diadakan di Perak, selama lima hari bermula Rabu ini.

Exco Kesenian, Kebudayan Belia dan Sukan Negeri, Zainol Fadzli Pahruddin berkata antara pasukan yang mengesahkan penyertaan adalah Sweden, Amerika Syarikat, Taiwan, Jepun, United Kingdom, Itali, New Zealand, Perancis, Afrika, Kanada, Singapura, Finland dan Mongolia.

Sukan lasak Perak Amanjaya 2009 dijangka mampu mempromosi Perak ke seluruh dunia apabila rangkaian penyiaran sukan antarabangsa, ESPN Star Sports, bersetuju menjadi media rasmi kejohanan serta menyiarkannya untuk diikuti kira-kira 1.3 bilion penonton, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR) Aminudin Hashim.

Beliau berkata ESPN Star Sports bersetuju menerbitkan program tiga jam bagi menyiarkan keseluruhan acara dan diulang tayang sehingga 75 jam meliputi kesemua lima siaran dalam stesen itu ke seluruh dunia selama dua bulan.

Kejohanan anjuran IDR itu membabitkan penyertaan dua orang sepasukan yang dikehendaki menunggang basikal, berkayak, aktiviti menyusur hutan, menjelajah gua dan berenang di lokasi BandingRoyal Belum, TaipingKuala Sepetang, Sungai KamparGua Tempurung dan Pasir Salak Pulau Pangkor dengan menamatkan perlumbaan sejauh 212 kilometer dalam tempoh 28 jam.

Zainol berkata acara itu dapat mempromosi keindahan alam semula jadi Perak ke seluruh dunia tetapi sebahagian daripada inisiatif sosioekonomi bagi menggalakkan pembangunan belia, sukan serta ekopelancongan di negeri ini.

"Kerajaan negeri memberi sokongan daripada segi bantuan logistik serta memastikan acara itu berjalan lancar manakala kos keseluruhan ditanggung sepenuhnya oleh penaja," katanya.

Zainol Fadzli yakin kejohanan itu akan menjadi acara sukan lasak terbesar di Asia tahun depan serta diiktiraf oleh atlet sukan lasak dunia sebagai bertaraf kelas pertama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Juara Wanita Dunia Terkeluar

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain