suria

Sepak Takraw Terengganu Guna Khidmat Jurulatih Thailand Hadapi Sukma

KUALA TERENGGANU: Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) akan menggunakan khidmat jurulatih import dari Thailand dalam menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan.

Presiden PSTNT Mohd Shapian Ali berkata jurulatih yang dimaksudkan ialah Wittayabuntal, bekas jurulatih pasukan kebangsaan Thailand, dan kini melatih skuad Sukan SEA negara Laos.

"Kehadiran jurulatih itu akan memberi suntikan kepada pasukan Terengganu untuk memenangi pingat pada sukan dwitahunan itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Shapian berkata Wittayabuntal, yang juga bekas pemain kebangsaan Thailand, akan memulakan tugasnya 1 Jan tahun depan, dan PSTNT sudah mengenalpasi seramai 18 pemain untuk menjalani latihan pusat itu.

Beliau berkata jurulatih itu akan berada di Terengganu sehingga temasya sukan tersebut yang akan diadakan di Melaka dari 10 hingga 19 Jun.

Shapian berkata bagi Sukma kali ini, Terengganu mensasarkan sekurang-kurangnya dua pingat emas daripada tiga pingat emas yang ditawarkan.

Beliau berkata persediaan Terengganu untuk menghadapi kejohanan itu telah bermula sejak awal tahun, termasuk menyertai Kejohanan Terbuka Vietnam baru-baru ini.

Shapian berkata buat masa ini, pemain-pemain Terengganu dilatih oleh Nordin Che Ali dan Mamat Mohd Zin, di Kompleks Belia Pasir Panjang.

Beliau berkata pemainpemain Terengganu itu nanti akan ditempatkan dalam satu kem untuk menjalani latihan sehingga bertolak ke Malaka. BERNAMA

Artikel Lain