suria

Atlet Dicadang Carum Perlindungan Insurans Dan Tubuh Tabung Kebajikan

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan atlet dan bekas atlet negara untuk mencarum dalam skim insurans berkelompok atau menubuhkan tabung kebajikan bersama bagi membantu kebajikan mereka selepas bersara.

Timbalan menterinya Datuk Razali Ibrahim berkata ketika ini kebajikan bekas atlet kebangsaan dikendalikan oleh Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) tetapi sumbangan yayasan tersebut adalah terhad.

"Mungkin atlet boleh mencarum dalam skim insurans berkelompok seperti yang diwujudkan di sekolah-sekolah ataupun menubuhkan satu tabungan kebajikan bersama dan mencarum secara sukarela," katanya kepada pemberita, di sini pada Rabu.

Beliau sebelum itu melawat bekas pemain bolasepak kebangsaan, Santokh Singh yang kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur sejak 10 hari lepas akibat jangkitan kuman di otaknya.

Pemain itu kini semakin pulih dan akan dimasukkan ke wad biasa dalam waktu terdekat.

Mengenai dakwaan bahawa KBS hanya mengambil berat kebajikan bekas atlet selepas mereka dimasukkan ke hospital atau kisah kehidupan mereka didedahkan di media, Razali berkata KBS tidak mempunyai skim kebajikan khusus bagi atlet.

"Sebab itu saya cadangkan atlet mengambil inisiatif sendiri mencarum dalam insurans atau menubuhkan satu tabung kebajikan. Kebanyakkan atlet atau bekas atlet bekerja secara kontrak dan adakalanya kebajikan mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada majikan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain