suria

Maniam Manikam terima Anugerah ASUS

KANGAR: Setiausaha Agung Persatuan Lumba Basikal ASEAN (ACA) Maniam Manikam hari ini menerima Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) bagi kategori pemimpin lelaki peringkat negeri Perlis. Beliau yang juga Setiausaha Persatuan Berbasikal Negeri Perlis menerima wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu di sini hari ini. Maniam yang juga Presiden Persatuan Kabbadi ASEAN turut aktif dalam pelbagai kegiatan lain sejak lebih 30 tahun lalu namun lebih menonjol dalam kegiatan sukan berbasikal. Maniam, 59, ketika ditemui berterima kasih di atas penghargaan kerajaan negeri di atas penganugerahan itu sambil menyifatkan perjuangannya dalam bidang sukan tidak pernah padam.

Setiausaha Persatuan Permainan Tradisional Perlis, Siti Aishah Abu Seman, 50, pula menjadi penerima anugerah bagi kategori pemimpin wanita dengan menerima hadiah RM1,000 dan sijil penghargaan. Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Affizam Amdan, 39, yang merupakan jurulatih sukan bagi Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (OKU) pula memenangi kategori penggerak, manakala kategori keluarga aktif dimenangi Hashim Abdullah, 63, dari Kampung Pengkalan Asam yang masingmasing turut menerima hadiah RM1,000 dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Persatuan Wushu Perlis menerima anugerah kategori persatuan sukan terbaik dengan menerima hadiah RM4,000 dan sijil manakala Persatuan Berbasikal Negeri Perlis di tempat kedua dan Persatuan Permainan Tradisional Negeri Perlis di tempat ketiga.

Sempena majlis yang berlangsung di Dewan Residensi itu, Jabatan Belia dan Sukan Perlis turut menganjurkan jamuan Aidilfitri kepada para penggiat sukan di negeri itu. BERNAMA

Artikel Lain