suria

ISN mulakan usaha lahirkan atlet pelapis

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) berusaha untuk meluaskan program pencarian dan pembangunan bakat muda bagi mengelak daripada berlakunya masalah kekurangan atlet pelapis pada masa hadapan.

Ketua pengarahnya Datuk Dr Ramlan Aziz berkata menyedari beban risiko yang bakal dihadapi, pihaknya telah mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menjayakan program itu.

"Diharap dengan adanya usaha awal ini, pada satu masa nanti kita akan mempunyai ramai atlet yang berkelayakan bagi mengisi kekosongan pada masa hadapan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga hari ini, ISN berjaya melakukan ujian bakat kepada 7,646 pelajar sekolah rendah di seluruh negara dan sambutan yang diterima daripada pihak sekolah dan ibu bapa amat baik.

"Kita mengharapkan untuk melakukan ujian bakat dalam skala yang lebih besar iaitu kepada 100,000 orang pada tahun hadapan," katanya.

Ramlan berkata sasaran program pencarian bakat diletakkan kepada pelajar sekolah yang berumur antara 10 dan 12 tahun dan mereka yang terpilih akan mendapat pendedahan asas sukan di sekolah masingmasing.

Beliau berkata pelajar yang dipilih hanya akan diberikan latihan khusus apabila mereka berumur 11 hingga 15 tahun ke atas.

"Hasil daripada program tersebut tidak dapat dilihat dalam jangkamasa satu atau dua tahun sahaja, sebaliknya kejayaan dapat diukur apabila atlet berumur 18 tahun ke atas apabila mereka menyertai kejohanan sukan peringkat kebangsaan," katanya.

Ramlan berkata selain daripada program itu, ISN turut menganjurkan kem tahunan kepada pelajar yang terpilih bagi meningkatkan motivasi diri.

"Saya harap ibu bapa turut sama memberi sokongan untuk membantu usaha ini dan mereka tidak perlu lagi risau tentang masa hadapan anak mereka kerana pada zaman sekarang sukan boleh dijadikan pilihan sebagai kerjaya hidup," katanya.

Ramlan berkata beliau percaya ramai ibu bapa memahami perkara ini namun masih ada segelintir yang masih berfikiran sukan tidak membantu kerjaya hidup anak mereka. BERNAMA

Artikel Lain