suria

Persatuan taekwando negeri tolak usul perlembagaan baru MTA

KUALA LUMPUR: Persatuan taekwando negeri dan badan gabungannya menolak perlembagaan baru Jawatankuasa Penaja Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) atas alasan berat sebelah kerana memberi kelebihan mengundi kepada kelab-kelab.

Bekas presiden MTA Raja Taharuddin Nong Chik berkata perlembagaan baru itu memberi kelebihan kuasa mengundi kepada kelabkelab kecil yang sebelum ini bernaung di bawah persatuan negeri menyebabkan kuasa mengundi negeri-negeri sendiri semakin berkurangan.

"Apa yang mereka (jawatankuasa penaja) keluarkan berkaitan dengan perubahan dalam perlembagaan MTA sepatutnya dibincangkan dan mendapat restu daripada ahli gabungan lain terlebih dahulu sebelum diputuskan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jawatankuasa penaja itu dipengerusikan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar serta dianggotai ahli-ahli daripada MTA, Persekutuan Taekwondo Malaysia (MTF) dan Persatuan Kelab-kelab Taekwondo Malaysia (MTCA).

Ia bertanggungjawab dalam semua hal ehwal pentabiran MTA serta membuat cadangan bagi meminda perlembagaan terutama berhubung aspek keahlian dalam persatuan terbabit.

Raja Taharuddin mendakwa perlembagaan baru yang dicadangkan oleh jawatankuasa itu tidak mendapat persetujuan daripada persatuan taekwando negeri termasuk badan gabungannya yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM). Beliau mendakwa adalah tidak adil apabila jawatankuasa penaja MTA meminda perlembagaan sedia ada dengan memberi hak mengundi kepada 32 daripada 42 buah kelab taekwando yang sebelum ini bernaung di bawah persatuan negeri.

Presiden Persatuan Taekwando Selangor, Datuk Dr Yusuf Hashim mendakwa perubahan itu dibuat kerana ada muslihat di sebaliknya.

"Usaha kita adalah untuk memperkasakan sukan taekwando di negara ini dan bukannya untuk mencari kepentingan diri sendiri seperti yang dilakukan oleh pihak lain," katanya.

Yusuf mendakwa persatuan negeri diugut untuk mengikut apa sahaja yang diputuskan oleh jawatankuasa penaja MTA dan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana jawatankuasa dibentuk untuk menyatukan badan MTA dan bukannya meranapkan MTA.

Untuk menyelesaikan masalah yang berlarutan ini beliau berharap jawatankuasa adhoc kembali merujuk surat akujanji yang diputuskan oleh Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Yusuf berkata Surat Akujanji itu meminta jawatankuasa adhoc menjalankan Mesyuarat Agung Tahunan Khas dan Mesyuarat Agung Tahunan untuk membentuk jawatankuasa MTA baru dan pindaan perlembagaan MTA dibuat bagi kemasukan ahli daripada Persatuan Taekwondo Malaysia (MTF)dan Persatuan Kelab Taekwondo Malaysia (MTCA).

"Pindaan perlembagaan yang ingin dibuat oleh jawatankuasa penaja MTA hari ini adalah bertentangan dengan apa yang dinyatakan dalam surat akujanji itu," katanya.

Jawatankuasa penaja itu dipengerusikan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar serta dianggotai ahliahli daripada MTA, Persekutuan Taekwondo Malaysia (MTF) dan Persatuan Kelabkelab Taekwondo Malaysia (MTCA).

MTA, yang menjadi gabungan Persekutuan Taekwondo Dunia (WTF), dibatalkan pendaftarannya pada 6 Mei 2005 oleh Pesuruhjaya Sukan ketika itu, Tan Sri Elyas Omar atas alasan menghindari pembangunan sukan tersebut mengikut Seksyen 20 (1) (e) Akta Pembangunan Sukan 1997.

Persatuan itu kemudian merujuk perkara itu ke mahkamah tetapi Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Seri Azalina Othman Said, telah menarik balik pembatalan berkenaan pada 5 Julai 2007.

Bagaimanapun, beberapa pegawai tidak berpuas hati dengan penarikan semula pembatalan pendaftaran MTA dan mengadu kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan Datuk Nik Mahmud Nik Yusof yang menggantikan Elyas, sekali lagi membatalkan pendaftaran MTA. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain