suria

Tenis Terbuka Malaysia: Semua pemain negara kandas di pusingan kelayakan

KUALA LUMPUR: Tujuh pemain tenis negara termasuk pemain utama negara Si Yew Ming yang beraksi pada pusingan kelayakan Kejohanan Tenis Proton Terbuka Malaysia gagal membawa cabaran negara ke pusingan utama selepas tewas kepada lawan masing-masing dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, hari ini.

Yew Ming yang menduduki ranking 1,589 dalam kategori perseorangan dunia dan ranking 1,328 beregu dunia tumpas kepada pemain dari Poland, Mariusz Fyrstenberg dalam perlawanan tiga set 4-6,7-5 dan 6-7.

Set pertama dimenangi oleh Fyrstenberg dengan keputusan 6-4, namun Yew Ming berjaya bangkit untuk memenangi set kedua perlawanan dengan keputusan 7-5.

Set ketiga berlangsung sengit dengan keduadua pemain saling mengejar kedudukan mata sehinggalah terikat pada kedudukan 6-6 dan memaksa set ketiga ditentukan menerusi "tie breaker".

Yew Ming gagal menyaingi Fyrstenberg yang bermain cemerlang dan tewas 1-7 untuk kemenangan berpihak kepada Fyrstenberg dengan keputusan 7-6.

"Fyrstenberg bermain cukup baik pada tie break. Saya perlu mempertingkatkan lagi tahap permainan saya selepas kejohanan ini," katanya yang ditemui di sini hari ini.

Yew Ming berkata beliau tidak terlalu kecewa dengan kekalahan itu kerana telah memberikan saingan yang cukup sengit terhadap lawan terutamanya di set penentuan.

Sementara itu, enam lagi pemain negara turut kecundang kepada lawan masingmasing di pusingan yang sama.

Pemain Amerika Syarikat Evans Brendan menumpaskan Mohammed Faizal Othman 6-0, 6-0; Pemain Kazakhstan Mikhail Kukushkin mengalahkan Abdul Hazli Zainuddin 6-2, 6-2, manakala pemain Pakistan AisamUIHaq Qureshi menewaskan Khevan Somasundram 6-1, 6-1. Pemain Korea Selatan Jun WoongSun pula mengalahkan Nazim Khan 7-5, 6-2; Rohan Bopanna dari India menewaskan Balakrishnan Kanagarai 6-2,6-0 dan Scott Lipsky dari Amerika Syarikat menumpaskan Adam Jaya 6-2, 6-2. Di pusingan kedua kelayakan esok, Brenda akan bertemu WoongSun; Kukushkin bertemu AisamUIHaq; Bopanna bertemu Fyrstenberg dan pertembungan rakan senegara dari Amerika Syarikat Micheal Yani and Scott Lipsky. Pusingan pertama kejohanan akan bermula Isnin ini membabitkan pemainpemain tenis terkemuka dunia antaranya seperti pemain kelapan dunia dari Russia Nikolay Davydenko, pemain ranking kesembilan dunia dari Sepanyol, Fernando Verdasco dan pemain kesebelas dunia dari Sweden Robin Soderling. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain