suria

Kedah tetap mahu pertahan Piala Malaysia

ALOR SETAR: Juara bertahan Piala Malaysia, Kedah bertekad untuk melupakan segala masalah yang melanda pasukan itu apabila meletakkan keutamaan untuk meraih tiga mata penuh dalam perlawanan pertama Kumpulan E menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malam esok di Stadium Darul Aman.

Biarpun dibayangi masalah ketiadaan penyerang utamanya, Mohd Khyrill Muhymeen Zambri untuk kempen mempertahankan kejuaran, skuad Hijau Kuning tetap optimis tentang peluang mereka mengulangi pencapaian mereka tahun lepas.

Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata semua pemain kini sudah bersedia untuk mempamerkan aksi terbaik dan mahu menjadikan ATM sebagai titik kebangkitan pasukan mereka.

"Walau dengan apa cara sekalipun, tiga mata penuh dalam perlawanan malam esok adalah sasaran kami. Setiap pemain tahu tanggungjawab masing-masing dan kemenangan malam esok adalah satu motivasi terbaik untuk pasukan meneruskan cabaran," katanya selepas sesi latihan pasukan itu di Stadium Darul Aman di sini petang tadi.

Kata Azraai, perlawanan malam esok juga adalah medan untuk membuktikan keupayaan pemainnya untuk membuktikan kepada peminat bahawa Kedah masih merupakan antara pasukan yang harus diberi perhatian.

Pemain tengah Shahrul Nizam Mustapa percaya Kedah masih mempunyai peluang untuk mempertahankan kejuaraan jika mampu mengekalkan corak permainan konsisten.

"Semua pasukan mempunyai standard yang hampir sama dengan pasukan yang konsisten akan berpeluang mendakap piala," katanya

Shahrul Nizam berkata kombinasi pemain berpengalaman dan barisan muda pasukan Kedah dilihat semakin serasi.

Kedah yang diundi dalam Kumpulan E bersama ATM, Kelantan dan Pulau Pinang merupakan juara bertahan bagi dua musim berturutturut tetapi sedang dilanda beberapa masalah seperti kecederaan penyerang dan gagal mendapatkan khidmat pemain luar untuk membantu pasukan. BERNAMA

Artikel Lain