suria

Terbuka Perlis jadi medan pemilihan atlet ke Laos

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) akan menjadikan Kejohanan Terbuka Perlis pada 3 Oktober ini sebagai salah satu medan pemilihan untuk mencari atlet terbaik ke Temasya Sukan SEA Laos yang akan berlangsung pada Disember ini.

Timbalan presidennya Karim Ibrahim berkata kejohanan itu terbuka kepada semua atlet olahraga di peringkat kebangsaan serta negeri, dan peluang itu seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh atlet yang berhasrat untuk bertanding ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

"Mereka yang berjaya mempamerkan aksi cemerlang pada kejohanan itu akan diberi peluang untuk mengikuti Kejohanan Terbuka KOAM di Kuala Lumpur pada 6 Oktober ini.

"Sekiranya mereka terus menunjukkan prestasi cemerlang di Kejohanan Terbuka KOAM, kami akan beri pelung untuk mereka beraksi di temasya Sukan SEA Loas pada awal Disember nenti," katanya kepada Bernama, di sini.

Karim berkata pihaknya juga bercadang untuk menambah lebih banyak lagi kejohanan peringkat kebangsaan untuk masa akan datang agar atlet tidak ketandusan kejohanan.

"Kami mahukan supaya atlet diberi lebih pendedahan melalui kejohanan dalam negeri agar mereka tidak kekok apabila beraksi di luar negara. KOAM juga akan membawa masuk atlet luar bertanding di sini," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan cuba membawa masuk seberapa banyak penyertaan dari luar negara bagi mematangkan atlet tempatan terutama apabila berdepan cabaran yang lebih getir di peringkat antarabangsa.

Karim berkata selepas ini, semua acara kejohanan yang melibatkan KOAM akan diwajibkan menggunakan papan catatan elektronik agar dapat merekod catatan masa sebenar oleh peserta bagi menjaga mutu kejohanan.

Beliau berkata pihaknya juga akan menambah jumlah kejohanan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan perkembangan sukan olahraga dalam negeri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain